[do_widget id=text-1010]

 

MINI RTC

1.   Selaras dengan Pelancaran Program Transformasi Luar Bandar (RTP), kerajaan telah melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) sebagai mekanisme untuk mengoptimumkan potensi luar bandar dan menjana pertumbuhan ekonomi luar bandar. RTC berfungsi sebagai pusat pembekalan agro-makanan dan agri-bisnes yang menghubungkan pengeluar dengan pengguna seluruh negara dan untuk memperhebatkan rangkaian pemasaran produk desa.

2.   Dalam usaha kerajaan untuk mempercepatkan transformasi luar bandar sebagai kawasan yang produktif, maju dan berdaya saing, Kerajaan telah menaik taraf MID di seluruh negara menjadi Mini RTC secara berperingkat. Bermula dari tahun 2012 sebanyak 77 buah Mini RTC dinaik taraf dan pada tahun 2013 keseluruhan baki berjumlah 136 buah MID akan dinaik taraf sebagai Mini RTC.

3.   Cadangan menaik taraf MID kepada Mini RTC adalah selaras dengan pengumuman bajet 2013 oleh YAB PM.

4.   Menyedari kepentingan Mini RTC dalam usaha mentransformasi masyarakat luar bandar, ia telah menjadi agenda tetap dalam Mesyuarat National Strategic Executive Summit (NSES) secara mingguan dan pelaporannya di bawah agenda NBOS 5: Converting MID into Mini RTC’ dan NBOS 8: Pelaksanaan Strategic Linkages Between Existing Utcs, Rtcs, Dan Mini Rtcs.

5.   Menerusi transformasi Mini RTC, fungsi Mini RTC menjadi lebih meluas dan tidak terhad sepertimana MID yang hanya berfungsi sebagai pusat ICT yang melaksanakan program-program merapatkan jurang digital. Mini RTC akan menjadi platform untuk menyelaras semua program daripada pelbagai agensi/jabatan berlandaskan konsep Strategi Lautan Biru Nasional 5 (NBOS 5 dan NBOS 8).

6.   Langkah menaik taraf MID kepada Mini RTC juga akan memperluaskan skop, peranan dan fungsi Pengurus sedia ada. Fokus kini tertumpu kepada usaha menggalakkan kolaborasi pelbagai agensi / jabatan / swasta dalam aspek tenaga dan kepakaran bagi melaksanakan program di premis Mini RTC. Kolaborasi ini dijalankan dengan memaksimakan penggunaan sumber sedia ada di pelbagai kementerian yang terlibat bagi mencipta lonjakan dalam pembangunan luar bandar melalui penjimatan kos serta pelaksanaan program/aktiviti dalam tempoh yang singkat (quick win).

7.   Secara umumnya inisiatif mentransformasikan MID kepada Mini RTC adalah bertujuan :

a.   Untuk berperanan sebagai penghubung masyarakat luar bandar dalam komuniti yang kecil dengan aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi mewujudkan impak ekonomi dan pendapatan berganda;

b.   Menjadi perantara kepada kelancaran program transformasi Kerajaan di UTC, RTC dan Mini RTC; dan

c.   Melaksanakan 8 Inisiatif Mini RTC pada skala yang lebih kecil mengikut kesesuaian dan keperluan komuniti setempat.

8.   Aktiviti Utama Mini RTC ialah :

a.   Menyediakan pusat ‘Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’ kepada penduduk kampung dalam mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kerajaan iaitu Perkhidmatan Atas Talian (Kios 1 Malaysia)

b.   Menyediakan prasarana untuk penduduk kampung memasarkan produk mereka;

c.   Menyediakan platform kepada agensi-agensi kerajaan yang ingin menjalankan program untuk memperkasakan penduduk kampung baik dari segi pendidikan, ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik;

d.   Menyebarkan peranan dan fungsi RTC;

e.   Berperanan sebagai penyampai maklumat kepada penduduk kampung mengenai dasar-dasar kerajaan dan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan kepada penduduk kampung; dan

f.   Melaksanakan program merapatkan jurang digital.

9.   Dengan moto Mini RTC ‘Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’, adalah menjadi hasrat kerajaan agar masyarakat luar bandar menjadi lebih berdaya maju dan berdaya saing serta berupaya meningkatkan pendapatan dan kualiti kehidupan mereka.

10.   Sesungguhnya proses menaikan taraf MID kepada Mini RTC merupakan satu langkah ke hadapan kerajaan untuk mempercepatkan pencapaian Program Transformasi Luar Bandar. Langkah ini tidak melibatkan pertambahan kos dan pelaksanaan program aktiviti dalam tempoh yang singkat. Mini RTC akan memberi lonjakan baru sistem penyampaian kerajaan kepada penduduk di luar bandar dan sekaligus meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk. 

8 Inisiatif Mini RTC

1.   Latihan Kemahiran

2.   Kios Informasi 1Malaysia

3.   Pertanian Bernilai Tinggi

4.   Pemprosesan Produk Agro Makanan

5.   Pengurusan Rantaian Bekalan Hasil Pertanian

6.   Kerjasama Universiti

7.   Perkhidmatan Kesihatan 1Malaysia

8.   Kemudahan Pembiayaan Kewangan

Font Resize
Contrast