Web Content Display Web Content Display

 

Assalamualaikum W.B.T

Salam sejahtera, salam Muafakat Kedah dan salam Negaraku Malaysia. Selamat datang saya ucapkan kepada semua pengunjung laman web Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Terlebih dahulu, izinkan saya untuk memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan ketentuanNya, saya telah diberi peluang untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengurus Besar KEDA yang baru serta menjalankan amanah yang telah diberikan bersama-sama warga kerja KEDA.

KEDA adalah merupakan sebuah agensi dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berperanan untuk membantu dan mempercepatkan pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan operasinya. Dengan berkeluasan meliputi 8,279 km iaitu 89% daripada keseluruhan kawasan negeri Kedah, KEDA adalah merupakan agensi kerajaan persekutuan dibawah KKLW yang berperanan dalam aspek pembangunan merangkumi aktiviti-aktiviti seperti pembasmian kemiskinan, pembangunan infrastruktur dan ameniti sosial, pembangunan kampung tradisional, perumahan rakyat termiskin (PPRT), pembangunan industri desa dan usahawan serta latihan kemahiran dan pembangunan modal insan.

Semua menyedari bahawa perkembangan pesat globalisasi mutakhir ini ditambah dengan kepantasan kemajuan teknologi maklumat telah meningkatkan cabaran kepada agensi seperti KEDA. Namun, selaku agensi yang diamanahkan sebagai wadah pembangunan  masyarakat luar bandar di negeri Kedah, kakitangan KEDA sentiasa dilatih agar peka kepada sebarang perubahan dan efektif dalam menyampaikan maklumat dan perkhidmatan kepada kumpulan sasarnya.

Oleh itu, mendepani cabaran dunia tanpa sempadan ini, penubuhan laman web KEDA dilihat sebagai salah satu medium terbaik bagi melestarikan komunikasi maya antara KEDA dan rakyat negeri Kedah agar muafakat ini dapat terus berada pada tahap maksimum.

Kepada para pengunjung laman web ini, saya amat berbesar hati diatas kunjungan mesra semua. KEDA amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan dari para pengunjung  untuk mempertingkatkan dan memantapkan sistem penyampaian kami. Saya sangat optimis dan menaruh harapan tinggi agar laman web ini dapat menyumbang kepada kehendak dan keperluan masa kini selaras dengan hasrat Agenda Teknologi Maklumat Negara (NITA).

Akhir kata, saya berharap agar seluruh warga kerja KEDA dapat mengekalkan azam dan iltizam serta mengamalkan Budaya Kerja Berprestasi Tinggi demi kecemerlangan organisasi dan meningkatkan kepuasan pelanggan terhadap khidmat bakti yang telah diberikan. Jadikan amalan sikap jujur dan ikhlas serta bertoleransi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai amalan seharian kita semua. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha murni kita dalam membangunkan bangsa, agama dan Negara Malaysia yang kita cintai ini.

Terima kasih di atas kesudian anda melayari laman web KEDA.

Wassalam.

"Pembangunan Seimbang Rakyat Sejahtera"

"Membandarkan Luar Bandar"


Tn. Hj. Arifuddin bin Habib.,SDK.,AMK.,BCK.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)