Web Content Display Web Content Display

PROJEK PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN PERKHIDMATAN KEDA

 

Latar Belakang Projek

Projek Pembangunan Usahawan dan Perkhidmatan KEDA adalah untuk mencetus, membantu dan menggalakkan pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) melalui taman IKS yang bersepadu di Wilayah KEDA. Selain itu, pelaksanaan ke arah pengwujudan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) merupakan agenda utama di bawah Projek Pembangunan Usahawan dan Perkhidmatan KEDA di mana ianya sejajar dengan kehendak Misi Nasional 2006 – 2020. Ia juga adalah selaras dengan Teras Ketiga Nasional dalam RMK-10 demi menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif. Atas dasar tersebut, Bahagian Industri Desa dan Usahawan (BIDU) KEDA telah diberi peruntukan sebanyak RM1,500,000.00 di bawah Projek Pembangunan Usahawan dan Perkhidmatan KEDA bagi merencanakan projek-projek yang memberi impak positif ke arah peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.

 

Objektif Projek

  • Memberi pendedahan serta membentuk usahawan baru ke arah kreativiti dan inovasi dari aspek penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan.

 

  • Menyediakan medan promosi yang lebih efektif kepada usahawan bumiputera di samping membentuk jaringan perniagaan di kalangan usahawan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

 

  • Memberi galakan kepada masyarakat luar bandar ke arah perniagaan, perindustrian dan
  • perdagangan.

 

  • Membimbing usahawan ke arah penjanaan dan percambahan idea baru dalam proses perluasan skop perniagaan.

 

  • Memberi khidmat latihan dan motivasi serta bimbingan bagi melahirkan usahawan yang berdikari dan berdaya maju.

 

  • Meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

 

Skop dan Komponen Projek

 

Projek yang merangkumi 3 pecahan komponen utama iaitu Kursus dan Promosi Pasaran, Infrastruktur Perindustrian dan Pembangunan Usahawan ini telah berjalan dengan lancar dan selari dengan tujuan dan objektif yang ditetapkan. Dengan prestasi perbelanjaan 100%, ianya telah memberi impak dan manfaat kepada penduduk luar bandar terutamanya usahawan IKS dalam usaha merealisasikan penstabilan sosioekonomi masyarakat luar bandar untuk menjana pendapatan dan memajukan perusahaan di bawah Projek Pembangunan Usahawan dan Perkhidmatan KEDA.

 

 

 

Komponen 1: Kursus Dan Promosi Pasaran

Peruntukan sebanyak RM500,000.00 telah diterima untuk merangka dan menyediakan latihan-latihan atau kursus-kursus berkaitan pembangunan usahawan sebagai langkah pembentukan dan pembangunan modal insan di dalam bidang keusahawanan.

 

Sebanyak 15 siri kursus / bengkel yang merangkumi pelbagai bidang telah dijalankan sepanjang tahun 2015 dan memberi manfaat serta impak yang positif kepada 465 orang usahawan luar bandar yang terlibat. Selain pencetusan transformasi minda dan budaya para usahawan ke arah usahawan berdaya maju, pegawai dan kakitangan yang terlibat juga mendapat manfaat dalam bentuk percambahan ilmu dan strategi demi membantu dan menjadi nadi penggerak kepada pembangunan usahawan berdaya maju pada tahun-tahun yang akan datang.

 

Komponen 2: Infrastruktur Perindustrian

 

Fokus utama komponen Infrastruktur Perindustrian adalah kerja-kerja penyelenggaraan dan kebersihan di taman-taman IKS KEDA di seluruh Wilayah KEDA. Taman IKS KEDA di 6 daerah diwujudkan untuk menjadi kawasan perindustrian yang bersepadu dan sebagai pusat penempatan semula syarikatsyarikat atau usahawan yang sebelum ini beroperasi di serata pelusuk kawasan luar bandar. Komponen ini juga turut menyediakan asas yang optima kepada usahawan bagi menaik taraf amalan industri yang berdaya maju dan seterusnya memenuhi kehendak persijilan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab

Industri) atau GMP (Good Manufacturing Practice).

 

Di bawah komponen Infrastruktur Perindustrian, semua kawasan di bawah penyelenggaraan telah diselenggara dengan efisien dan berkesan, sekaligus telah memberi impak positif dan manfaat kepada hampir 200 orang pengusaha yang menyewa premis di taman-taman IKS KEDA. Selain itu, tindakan penambahbaikan dan menaik taraf premis-premis di taman IKS KEDA ke status GMP juga telah memberi pertumbuhan positif kepada bilangan permohonan sewaan kedai, bengkel mahupun bangunan di taman IKS KEDA. Walau bagaimanapun, isu ekonomi global umumnya dan cabaran perkembangan ekonomi negara khasnya telah memberi kesan ke atas peningkatan kos penyelenggaraan.

 

 

Komponen 3: Pembangunan Usahawan

 

Di bawah komponen Pembangunan Usahawan, 2 aktiviti telah dijalankan dengan peruntukan diterima sebanyak RM400,000.00 iaitu bantuan mesin dan bantuan papan tanda. Bantuan mesin diberi kepada usahawan-usahawan yang terlibat dalam Program Mentor / Mentee yang merupakan program yang memberi fokus kepada pembangunan usahawan di golongan sasar. Fokus utama menjurus ke arah pengwujudan peluang-peluang pekerjaan dan penambahan pendapatan kepada para usahawan yang dikenal pasti sebagai mentor iaitu sebuah perusahaan luar bandar yang berdaya saing dan berkemampuan untuk memperkembangkan perusahaan atau perniagaan ke peringkat lebih tinggi, akan tetapi mempunyai kekangan sama ada dari segi kewangan, peralatan, tenaga kerja mahupun lokasi operasi. Manakala mentee dilantik dan dikenal pasti di kalangan usahawan-usahawan kecil yang sentiasa konsisten dan komited serta menunjukkan kesungguhan dalam mencari peluang pekerjaan demi menjana pendapatan.

 

Seramai 66 orang usahawan di seluruh Negeri Kedah telah mendapat manfaat dari perlaksanaan program ini di mana 6 orang usahawan IKS dari bidang jahitan, kuih tradisional, kerepek, jahitan, makanan segera (ayam goreng) dan rojak buah telah dilantik sebagai mentor dan selebihnya iaitu 60 orang usahawan terpilih untuk menjadi mentee. Bantuan yang diberi antaranya termasuk peralatan perniagaan, mesin, bantuan tenaga pengajar dan papan tanda perniagaan sebagai usahawan bimbingan KEDA.

 

 

Bagi tahun 2015, Bahagian Industri Desa dan Usahawan (BIDU) KEDA telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai agen kepada pembangunan usahawan luar bandar dan sekaligus merealisasikan objektif utama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk membawa keseimbangan sosioekonomi masyarakat luar bandar di Negeri Kedah.