KEDA SANTUNI MANGSA KEBAKARAN
PADANG TERAP – Tindakan segera Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meneruskan komitmennya terhadap kesejahteraan komuniti dengan mengadakan Ziarah Kasih kepada mangsa kebakaran di Desa KEDA Bendang Tok Teri, Naka, Padang Terap.
Mangsa, Zamri Zakaria, 56, dan isteri Siti Fatimah Binti Saad,60, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami selama 20 tahun musnah dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Isnin lalu (25 November 2024).
Pengurus Besar, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata, KEDA telah menyediakan tempat tinggal sementara di Desa KEDA berkenaan sebelum rumah baharu untuk mereka di bina.
“KEDA kini dalam proses siasatan dan penilaian bagi pembinaan semula rumah yang 90 hangus terbakar dengan melanjutkan permohanan kepada Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS). Projek pembinaan ini dijangka menelan belanja RM79,000.
“Selain itu KEDA juga sudah menyerahkan bantuan bakul makanan segera bernilai RM100 berupa beras, tepung, gula, kopi, minyak masak termasuk wang tunai RM200.
“Kita juga sedia bantuan keperluan asas rumah sebanyak RM1700 seperti tilam, bantal, selimut, kipas, cerek elektrik, periuk nasi, pinggan mangkuk, cawan, periuk, tong gas, sinki, tikar dan rak,” katanya pada Media ketika menyantuni mangsa kebakaran.
Zamri berkata dia dan isteri sangat bersyukur dan terima kasih kepada pihak KEDA kerana menyediakan rumah sementara untuk mereka tinggal selain barang keperluan untuk kelangsungan hidup mereka.
Katanya, dia sangat berharap rumah itu dapat dibina semula dengan bantuan KEDA.
Untuk makluman pada jam 5.00 petang, pada waktu kejadian, mangsa yang telah menetap selama 20 tahun dirumah berkenaan difahamkan tiada di rumah kerana menguruskan urusan luar dan membeli stok barangan niaga.
Kejadian kebakaran ini disedari oleh jiran belakang rumah kerana terhidu bau hangit dari rumah mangsa dan kemudian menyedari api telah marak dan menjulang sehingga ke bumbung.
Beliau juga adalah merupakan penerima bantuan KEDA melalui Program Peningkatan Pendapatan (PPP) bagi tahun 2023.