“TERIMA KASIH KEDA ATAS PEMBERIAN INI,” PENERIMA PKS KKDW KLUSTER MAKANAN
SUNGAI PETANI – “Terima kasih Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima dividen program ini,”.
Itulah luahan salah seorang penerima dividen Program Komuniti Sejahtera (PKS), Wamat bin Che Mi, 60 yang menyatakan rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada KEDA kerana memilihnya menerima dividen itu sekali gus dapat mengurangkan beban keluarganya.
“Saya tidak lagi mampu mencari rezeki selepas terjatuh daripada pokok genuak pada 2021, kejadian itu menyebabkan tulang belakang saya patah dan saya menjadi lumpuh.
“Kini saya hanya mengharapkan bantuan daripada zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kelangsungan hidup, dengan dividen sebanyak RM1,000 setiap tiga bulan ini, saya akan gunakan sebaiknya untuk perbelanjaan dapur dan keperluan lain.
“Salah seorang anak saya sanggup berhenti kerja untuk menjaga saya. RM1,000 ini sangat bermakna untuk saya dan keluarga,” katanya yang tinggal di Desa KEDA Bandar, Kampung Terabak, Baling.
Terdahulu, KEDA menyerahkan dividen bagi suku kedua tahun ini sebanyak RM1,000 kepada 30 keluarga menerima pembayaran bagi kluster Industri Makanan.
Untuk kluster ini, KEDA melantik D’Sara Fried Chicken sebagai pengurus projek rintis ini dengan peruntukan RM300,000 yang merupakan padanan kepada 30 penerima manfaat.
“PKS merupakan program khusus Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah diwujudkan bagi tujuan perluasan konsep perkongsian keuntungan kepada warga emas, penerima uzur dan orang kelainan upaya.