PADANG TERAP – Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap dengan kerjasama Jawatankuasa 4P Desa KEDA Pasir Putih telah berjaya menganjurkan Majlis Ceramah Israk Mikraj bertempat di Surau Desa KEDA Pasir Putih, di sini.
Penganjuran program berunsur kerohanian itu bertujuan menyuburkan nilai keimanan serta memperkukuh jati diri masyarakat setempat selaras dengan usaha berterusan KEDA dalam membangunkan komuniti desa yang seimbang dari aspek rohani dan sosial.
Majlis berkenaan dihadiri penduduk yang memenuhi ruang surau bagi mengikuti pengisian ceramah yang disampaikan.
Ceramah telah disampaikan oleh penceramah jemputan, YBhg. Ustaz Shahril bin Abdul Azir yang menekankan peristiwa agung Israk Mikraj sebagai titik penting dalam sejarah pensyariatan solat serta lambang hubungan langsung antara hamba dengan Pencipta.
Menurut beliau, solat bukan sahaja menjadi kewajipan asas umat Islam, malah berperanan sebagai teras pembinaan akhlak, disiplin diri dan kekuatan rohani dalam menghadapi realiti kehidupan masa kini yang semakin mencabar.
Selain itu, beliau turut mengajak para hadirin mengambil peluang keberkatan bulan Rejab dengan memperbanyakkan amalan kebajikan serta memperteguh keimanan sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Encik Mohd Syaril bin Idris dan Encik Mohamad Abdul Khalil bin Abdullah selaku wakil Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pihak KEDA dalam menyokong program pembangunan sahsiah dan kesejahteraan komuniti di peringkat desa.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat mempererat ukhuwah dalam kalangan penduduk serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat Desa KEDA Pasir Putih yang harmoni, berilmu dan berdaya tahan.
#KEDA #mensejahterakanluarbandar #LembagaKemajuanWilayahKedah #RancakkanMADANI #MADANIBekerja
