Menu Aksesibiliti ×
Saiz Tulisan
Warna Kontras
Tulisan Jelas (Arial)
Tetapan Asal


.

.

KEDA Salur Bantuan Ekonomi Berjumlah RM83,000 kepada Lapan Peserta

KUALA MUDA – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyalurkan bantuan ekonomi berjumlah RM83,000 kepada lapan (8) peserta menerusi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Projek Pertanian Petani Luar Bandar (PPLB).

Penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Seri Diraja Mahdzir bin Khalid, sempena Majlis Perasmian Bengkel IKS Desa KEDA Tepi Sungai, Penyerahan Bantuan Ekonomi serta Penyerahan Geran Hak Milik yang berlangsung di Desa KEDA Tepi Sungai, Kuala Muda.

Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar dan Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Sulaiman bin Mohd Noor.

KEDA menyediakan pelbagai bentuk bantuan ekonomi bagi membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat luar bandar. Inisiatif ini dilaksanakan menerusi PPP dan PPLB, yang turut disokong dengan bimbingan bersesuaian bagi membantu peserta mengembangkan aktiviti ekonomi dan pertanian secara lebih berdaya maju.

Penyaluran bantuan ini diharap dapat membantu para peserta mengembangkan aktiviti masing-masing, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan yang lebih mampan serta meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

#KKDW #LembagaKemajuanWilayahKedah #MensejahterakanLuarBandar #PejuangDesa #TaatSetia #MalaysiaMADANI #RancakkanMADANI #MADANIbekerja

KEDA Fun Run Semarakkan Sambutan Hari Sukan Negara 2026

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menganjurkan KEDA Fun Run 2026 bersempena Sambutan Hari Sukan Negara 2026 sebagai usaha memupuk budaya hidup sihat serta memperkukuh semangat kesukanan dalam kalangan warga kerja agensi tersebut.

Program ini disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar. Turut menyertai larian tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar.

Larian sejauh tujuh (7) kilometer itu bermula dan berakhir di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, dengan penyertaan warga kerja yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat kesukanan.

KEDA Fun Run 2026 mempertandingkan empat (4) kategori utama, iaitu Veteran Lelaki, Terbuka Lelaki, Veteran Wanita dan Terbuka Wanita.

Bagi kategori Veteran Lelaki, tempat pertama dimenangi oleh Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, diikuti Pegawai Pembangunan Zon 9, Encik Muhammad Noorhisham bin Taib di tempat kedua dan Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa di tempat ketiga.

Kategori Terbuka Lelaki menyaksikan Muhammad Sayuti bin Mohd Lazim muncul sebagai juara, diikuti Haris Hazwan bin Anuar di tempat kedua dan Muhammad Haikal bin Fazuli di tempat ketiga.

Bagi kategori Veteran Wanita, Nor Asmida binti Hassan meraih gelaran juara, manakala Noor Amira binti Ahmad Sukkri mendapat tempat kedua dan Siti Nurhafiza binti Radzuan di tempat ketiga.

Sementara itu, kategori Terbuka Wanita dimenangi oleh Siti Faridah binti Ismail, diikuti Noor Hidayah binti Abdullah di tempat kedua dan Faliyatun Atiqah binti Nordin di tempat ketiga.

Penganjuran KEDA Fun Run 2026 diharap dapat terus menyemarakkan Sambutan Hari Sukan Negara serta menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan kesejahteraan warga kerja KEDA melalui aktiviti fizikal dan amalan gaya hidup sihat.

#KKDW #LembagaKemajuanWilayahKedah #MalaysiaMADANI #RancakkanMADANI #MADANIbekerja #HSN2026 #FunRun

KeSUDA 2026 Jadi Medan Pemupukan Gaya Hidup Sihat Komuniti Desa

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited dalam memperkasa gaya hidup sihat dan pembangunan modal insan menerusi penganjuran Kejohanan Sukan Desa KEDA (KeSUDA) 2026.

KeSUDA 2026 merupakan platform sukan tahunan yang bukan sahaja bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan cergas dalam kalangan masyarakat, malah menjadi medan penyatuan komuniti desa di bawah naungan KEDA.

Penganjuran kejohanan pada tahun ini melibatkan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM80,000.00. Menerusi acara utama iaitu futsal dan bola jaring, kejohanan ini berjaya menghimpunkan wakil belia serta warga sukan daripada sembilan (9) Zon KEDA di seluruh negeri Kedah.

Sebagai penghargaan terhadap semangat kesukanan para peserta, pihak penganjur menyediakan hadiah wang tunai, piala iringan, medal dan hamper kepada para pemenang. Johan menerima wang tunai sebanyak RM1,200.00, naib johan RM1,000.00, manakala tempat ketiga menerima RM800.00. Penerima hadiah saguhati pula memperoleh wang tunai sebanyak RM200.00 berserta hamper.

Bagi keputusan kejohanan, Zon 2, Padang Terap berjaya muncul sebagai johan acara futsal, manakala Zon 5, Baling merangkul gelaran johan bagi acara bola jaring.

Penganjuran KeSUDA 2026 membuktikan komitmen berterusan KEDA dalam memperkasakan pembangunan modal insan, menyemarakkan semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan KEDA dengan masyarakat desa.

#KKDW #LembagaKemajuanWilayahKedah #MalaysiaMADANI #RancakkanMADANI #HSN2026

MAHA 2026: KEDA KOMITED SOKONG AGENDA PEMERKASAAN USAHAWAN DESA

SERDANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited dalam memperkasa pembangunan usahawan desa dan luar bandar, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat serta kesejahteraan penduduk luar bandar.

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi penyertaan KEDA dalam Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition (MAHA) 2026, khususnya melalui penglibatan di Pavilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai platform untuk mempromosikan inisiatif serta program pembangunan yang dilaksanakan oleh agensi.

Menerusi penyertaan kali ini, KEDA turut mengetengahkan lapan usahawan selain membawa komuniti Desa Kirana Sedim, Kulim dan Pulau Tuba, Langkawi untuk bersama-sama memeriahkan pavilion berkenaan. Pelbagai aktiviti interaktif turut dianjurkan bagi menarik pengunjung serta memberi peluang kepada mereka mengenali dengan lebih dekat produk, perkhidmatan dan inisiatif KEDA.

Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Hadir mewakili KEDA ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar. Beliau turut meluangkan masa melawat dan menyantuni usahawan KEDA yang mengambil bahagian sepanjang MAHA 2026.

KEDA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan penyertaan KEDA di MAHA 2026.

Semoga segala usaha dan kerjasama yang terjalin terus diperkukuh demi memperkasa usahawan serta komuniti luar bandar. Jumpa lagi di MAHA akan datang! Terima kasih dan tahniah kepada semua yang telah memberikan yang terbaik!

#MAHA2026 #KKDW #LembagaKemajuanWilayahKedah #TaatSetia #PejuangDesa #MalaysiaMADANI #RancakkanMADANI #MADANIbekerja

PENGUNJUNG REBUT CENDERAMATA PERCUMA HARI TERAKHIR MAHA 2026

SERDANG – Hari terakhir MAHA 2026 terus meriah apabila pengunjung Laman Usahawan Desa, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), mengambil kesempatan mendapatkan pelbagai cenderamata percuma yang disediakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Selain cenderamata, pengunjung turut berpeluang mendapatkan baucar penginapan daripada KEDA Holding dengan tawaran istimewa diskaun 10 peratus, sekali gus memberi nilai tambah kepada pengunjung yang hadir ke reruai KEDA.

Pelbagai aktiviti dan tawaran yang disediakan merupakan antara pendekatan KEDA dalam mendekati masyarakat, di samping memberi peluang kepada pengunjung mengenali dengan lebih dekat peranan, fungsi dan operasi KEDA dalam membangunkan masyarakat serta kawasan luar bandar.

Turut diadakan ialah kuiz interaktif bersama pengunjung yang menguji pengetahuan mereka mengenai KEDA, termasuk peranan serta program pembangunan luar bandar yang dilaksanakan.

Aktiviti tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menguji pengetahuan sambil membawa pulang cenderamata sebagai kenang-kenangan.

Kemeriahan Laman Usahawan Desa pada hari terakhir MAHA 2026 turut memperlihatkan keberkesanan platform berkenaan sebagai ruang interaksi antara agensi kerajaan, usahawan dan masyarakat dalam memperkenalkan produk, perkhidmatan serta inisiatif pembangunan luar bandar.

Kehadiran dan sambutan positif pengunjung sepanjang MAHA 2026 menjadi dorongan kepada KEDA untuk terus memperkukuh pendekatan mendekati masyarakat serta memperkenalkan pelbagai usaha pembangunan luar bandar kepada khalayak yang lebih luas.

#KKDW #LembagaKemajuanWilayahKedah #PejuangDesa #TaatSetia #MalaysiaMADANI #MADANIbekerja #RancakkanMADANI #MAHA2026

12 PENGUNJUNG TERIMA BAUCER PENGINAPAN PERCUMA MAHA 2026

SERDANG – Seramai 12 pengunjung bertuah menerima baucer penginapan percuma daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sempena penganjuran Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition (MAHA) 2026 yang melabuhkan tirainya hari ini.

Pengunjung bertuah tersebut terdiri daripada peserta yang hadir dari beberapa negeri termasuk Melaka, Johor, Kedah dan Perak. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.

Baucer penginapan KEDA Resort & Holidays itu dimenangi menerusi aktiviti kuiz interaktif Kahoot yang dianjurkan oleh KEDA di Laman Desa Kirana sepanjang berlangsungnya MAHA 2026.

Aktiviti berkenaan menjadi antara tarikan utama KEDA dalam menggalakkan kunjungan ke Laman Desa Kirana, selain memberi peluang kepada pengunjung mengenali dengan lebih dekat produk, aktiviti serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh KEDA.

Bagi hadiah utama, pemenang tempat pertama menerima baucer penginapan percuma di Bendang Man Resort, Sik, Kedah, manakala pemenang tempat kedua menerima baucer penginapan di Serdang Lake View, Bandar Baharu, Kedah.

Selain itu, sebanyak 100 hadiah cenderahati turut disediakan kepada peserta kuiz sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan sokongan pengunjung terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh KEDA.

Penganjuran aktiviti interaktif tersebut mencerminkan pendekatan KEDA dalam menyediakan pengisian yang santai, menarik dan mesra pengunjung bagi memeriahkan Laman Desa Kirana sepanjang MAHA 2026.

Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)

#KKDW #LembagaKemajuanWilayahKedah #PejuangDesa #TaatSetia #MalaysiaMADANI #MADANIbekerja #RancakkanMADANI #MAHA2026

KOLEJ KEDA MERIAHKAN BALING ESCAPADE FESTIVAL 2026 DENGAN DEMONSTRASI MASAKAN WARISAN KEDAH

BALING – Kolej KEDA tampil memeriahkan Baling Escapade Festival 2026 menerusi demonstrasi masakan Kedah Heritage Cooking Demonstration yang mengetengahkan keunikan serta kekayaan sajian tradisional negeri Kedah.

Demonstrasi yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 31 Julai 2026 dan 1 Ogos 2026, bermula pada jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari. Sepanjang program berlangsung, Kolej KEDA menampilkan penyediaan pelbagai hidangan warisan Kedah untuk tatapan dan pengalaman para pengunjung.

Pada hari terakhir demonstrasi, pengunjung berpeluang menyaksikan penyediaan serabai kuah durian, iaitu antara menu tradisional yang cukup sinonim dengan warisan kulinari masyarakat Kedah.

Dalam pada itu, pengunjung turut berpeluang mengunjungi booth usahawan KEDA yang menghimpunkan pelbagai produk tempatan merangkumi makanan dan minuman, produk kesihatan dan kesejahteraan, kraftangan serta produk kreatif hasil usahawan tempatan.

Antara usahawan KEDA yang mengambil bahagian ialah Sumber Segar Enterprise yang menawarkan produk tenusu, Setehsen Global Sdn. Bhd. dengan produk teh, Addil World Enterprise yang mengetengahkan minuman kesihatan, Deqaira Global yang menawarkan produk kesejahteraan seperti balm dan minyak cengkih serta NFF Fabulous Food (Lekoshow SP) yang menawarkan keropok lekor dan mee udang.

Turut serta ialah Ommaza Burger dengan sajian burger homemade, Nomad Kopifi House yang menawarkan kopi dan burger, Gadis Tebu Enterprise (Ayra Frozen) dengan pelbagai produk kuih sejuk beku, Cedoqq Enterprise yang menyediakan dessert dan dadih serta Sulung Dream Empire yang menawarkan dumpling dan pan mee.

Penyertaan usahawan KEDA dalam festival ini bukan sahaja membuka ruang kepada usaha promosi dan pemasaran produk tempatan, malah turut memberi peluang kepada usahawan untuk berinteraksi secara langsung dengan pengunjung dari dalam dan luar Kedah.

Penglibatan ini sekali gus menjadi platform dalam memperkenalkan produk usahawan tempatan kepada khalayak yang lebih luas, di samping menyokong usaha KEDA dalam memperkasa serta meningkatkan potensi ekonomi masyarakat luar bandar.

#KEDA #MensejahterakanLuarBandar #LembagaKemajuanWilayahKedah #RancakkanMADANI #MADANIBekerja

HIDANGAN JUARA DISAJIKAN DI BALING ESCAPADE FESTIVAL 2026

BALING – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus memperkukuh peranannya dalam merancakkan aktiviti sosioekonomi luar bandar apabila turut mengambil bahagian dalam memeriahkan Baling Escapade Festival 2026 dan The Magnificent Baling 100 yang berlangsung di pusat bandar Baling.

Menerusi Kolej KEDA, KEDA telah mengadakan demonstrasi masakan warisan tradisional Negeri Kedah yang mengetengahkan dua hidangan istimewa, iaitu Kerabu Pais Ikan dan Ubi Kayu Cicah Nyoq.

Lebih membanggakan, kedua-dua hidangan tradisional tersebut pernah dinobatkan sebagai juara serta meraih pingat emas dalam pertandingan World Chefs Championship, sekali gus membuktikan keunikan dan kualiti sajian warisan Kedah yang mampu diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

Demonstrasi masakan berkenaan dijayakan oleh Cikgu Siti Fatimah binti Abdul Karim, Cikgu Najah Salam binti Ibrahim dan Cikgu Farhana binti Md Yusof, yang merupakan tenaga pengajar bagi Kursus Teknologi Makanan di Kolej KEDA. Ketiga-tiga tenaga pengajar tersebut mempunyai pengalaman membanggakan apabila pernah dinobatkan sebagai juara dan memenangi pingat emas dalam pertandingan World Chefs Championship.

Turut hadir menyaksikan demonstrasi masakan ialah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar; Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi; Pengurus Khidmat Pengurusan, Cik Suhaila binti Hamzah; serta Pegawai Pembangunan KEDA Zon 5 Baling, Encik Mohamad Nasri bin Ahmad Shukri.

Demonstrasi tersebut berjaya menarik perhatian pengunjung yang hadir. Menariknya, seorang pengunjung dari Manjung, Perak turut berpeluang merasai sendiri hidangan yang disediakan. Hidangan berkenaan mendapat maklum balas positif apabila pengunjung menyifatkannya sebagai sedap, unik dan mempunyai cita rasa tersendiri.

Dalam kesempatan tersebut, Pengurus Besar KEDA turut menyampaikan saguhati kepada pengunjung bertuah yang meluangkan masa menyaksikan demonstrasi masakan berkenaan.

Beliau turut mengambil kesempatan melawat sepuluh reruai usahawan bimbingan KEDA yang turut menyertai Baling Escapade Festival 2026, sekali gus memberi sokongan dan dorongan kepada usahawan tempatan dalam usaha memperkenalkan serta memasarkan produk mereka kepada pengunjung.

Penglibatan KEDA dalam acara ini bukan sahaja mengetengahkan keunikan makanan warisan Kedah, malah turut menjadi platform dalam memperkasakan bakat tenaga pengajar Kolej KEDA serta membuka ruang promosi kepada usahawan bimbingan KEDA, selaras dengan aspirasi KEDA untuk terus mensejahterakan luar bandar.

#KEDA #MensejahterakanLuarBandar #LembagaKemajuanWilayahKedah #RancakkanMADANI #MADANIBekerja

KEDA PERKASA PENYEDIAAN LAPORAN KAJIAN PENILAIAN OUTCOME KKDW 2026

KLANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus memperkukuh komitmen dalam memastikan penyediaan Laporan Kajian Penilaian Outcome Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2026 dilaksanakan secara berkualiti, komprehensif dan berimpak.

Sehubungan itu, Bengkel Kick Off Penyediaan Laporan Kajian Penilaian Outcome KKDW 2026 telah berlangsung selama tiga hari, bermula 29 hingga 31 Julai 2026, bertempat di Wyndham Acmar, Klang.

Bengkel ini melibatkan kerjasama Kolej KEDA dan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) KEDA dalam memperkemas proses penyediaan laporan kajian, di samping memastikan maklumat, pencapaian serta impak program yang dinilai dapat didokumentasikan secara sistematik dan menyeluruh.

Pelaksanaan Kajian Penilaian Outcome (KPO) ini adalah selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2012: Garis Panduan Pengukuran Pencapaian Program/Projek Pembangunan Melalui Penilaian Outcome, yang bertujuan mengukur tahap pencapaian dan keberhasilan sesuatu program atau projek pembangunan yang telah dilaksanakan.

Bengkel yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelarasan dan Pemantauan (PP) selaku urusetia utama Jawatankuasa Kajian Penilaian Outcome (JKPO) KKDW turut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan tatacara pelaksanaan KPO serta meningkatkan kefahaman dan pengetahuan dalam penyediaan laporan penilaian outcome yang berkualiti.

Menerusi bengkel ini, Team Kolej KEDA dan Team BPU KEDA akan meneruskan kerjasama serta komitmen dalam menghasilkan Laporan Penilaian Outcome Tahun 2026 yang berkualiti, menyeluruh dan berasaskan bukti.

Usaha ini penting bagi memastikan setiap program dan projek pembangunan yang dilaksanakan KEDA dapat dinilai berdasarkan pencapaian, keberhasilan serta impak yang memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

Penilaian yang sistematik ini sekali gus dapat menyokong usaha KEDA dalam memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap inisiatif pembangunan yang dilaksanakan terus memberi nilai dan manfaat kepada masyarakat luar bandar.

#KEDA #MensejahterakanLuarBandar #LembagaKemajuanWilayahKedah #RancakkanMADANI #MADANIBekerja

DURIAN FEST @ PROSPEK PEDU 4.0 ANGKAT DURIAN PEDU KE PERSADA LEBIH TINGGI

PEDU – Penganjuran Durian Fest @ PROSPEK Pedu 4.0 menjadi platform strategik dalam mempromosikan keunikan dan kualiti Durian Pedu kepada masyarakat sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara produk agro bernilai tinggi di negeri Kedah.

Festival yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) itu bukan sahaja menghimpunkan pencinta durian dari pelbagai kawasan, malah membuka ruang kepada orang ramai untuk mengenali sendiri keistimewaan durian yang diusahakan oleh peserta Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Pedu.

Durian Pedu semakin mendapat perhatian kerana memiliki rasa yang tersendiri, tekstur isi yang lemak serta berkualiti tinggi hasil daripada amalan pertanian yang baik oleh para pengusaha tempatan.

Melalui festival ini, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai varieti durian yang ditawarkan selain mendapatkan maklumat secara terus daripada pengusaha mengenai kaedah penanaman dan penjagaan kebun.

Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Seri Diraja Mahdzir bin Khalid, berkata Durian Fest merupakan medium terbaik untuk memperkenalkan jenama Durian Pedu kepada pasaran yang lebih luas serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti hasil tempatan.

Menurut beliau, promosi yang berterusan amat penting bagi mewujudkan identiti tersendiri kepada Durian Pedu agar ia mampu berdiri sebaris dengan jenama durian terkenal lain di negara ini.

“Pedu mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai destinasi agro pelancongan berasaskan durian. Melalui festival seperti ini, kita dapat menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pengusaha dan merancakkan ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Penganjuran Durian Fest @ PROSPEK Pedu 4.0 membuktikan kesungguhan KEDA dalam mengangkat Durian Pedu sebagai ikon baharu agro pelancongan Kedah, di samping memperluaskan peluang pasaran dan meningkatkan daya saing produk luar bandar di peringkat yang lebih tinggi.

#KEDA #mensejahterakanluarbandar #LembagaKemajuanWilayahKedah #RancakkanMADANI #MADANIBekerja

×
Imej ahli lembaga pengarah