ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited dalam memperkasa gaya hidup sihat dan pembangunan modal insan menerusi penganjuran Kejohanan Sukan Desa KEDA (KeSUDA) 2026.
KeSUDA 2026 merupakan platform sukan tahunan yang bukan sahaja bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan cergas dalam kalangan masyarakat, malah menjadi medan penyatuan komuniti desa di bawah naungan KEDA.
Penganjuran kejohanan pada tahun ini melibatkan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM80,000.00. Menerusi acara utama iaitu futsal dan bola jaring, kejohanan ini berjaya menghimpunkan wakil belia serta warga sukan daripada sembilan (9) Zon KEDA di seluruh negeri Kedah.
Sebagai penghargaan terhadap semangat kesukanan para peserta, pihak penganjur menyediakan hadiah wang tunai, piala iringan, medal dan hamper kepada para pemenang. Johan menerima wang tunai sebanyak RM1,200.00, naib johan RM1,000.00, manakala tempat ketiga menerima RM800.00. Penerima hadiah saguhati pula memperoleh wang tunai sebanyak RM200.00 berserta hamper.
Bagi keputusan kejohanan, Zon 2, Padang Terap berjaya muncul sebagai johan acara futsal, manakala Zon 5, Baling merangkul gelaran johan bagi acara bola jaring.
Penganjuran KeSUDA 2026 membuktikan komitmen berterusan KEDA dalam memperkasakan pembangunan modal insan, menyemarakkan semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan KEDA dengan masyarakat desa.
#KKDW #LembagaKemajuanWilayahKedah #MalaysiaMADANI #RancakkanMADANI #HSN2026
