Sektor Infrastruktur dan Prasarana
Soalan 1
Adakah KEDA menyediakan bantuan Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)? Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan?
Jawapan
KEDA berperanan sebagai Agensi Pelaksana bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Oleh itu, semua permohonan hendaklah dikemukakan melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di daerah masing-masing.
Soalan 2
Berapa lamakah tempoh yang diperlukan untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan atau baik pulih rumah?
Jawapan
Tempoh pelaksanaan bergantung kepada jenis projek seperti berikut:
- Bina Baharu (Konvensional): 16 hingga 18 minggu
- Bina Baharu (IBS): 12 hingga 14 minggu
- Baik Pulih Rumah: 2 hingga 4 minggu
Walau bagaimanapun, tempoh tersebut mungkin berubah sekiranya berlaku masalah atau kekangan di tapak projek.
Soalan 3
Bagaimanakah cara memohon bantuan di bawah Program Jalan Perhubungan Desa dan Ameniti Sosial?
Jawapan
Permohonan hendaklah dikemukakan melalui surat rasmi daripada Penghulu Mukim atau Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Surat tersebut perlu dihantar kepada Pejabat KEDA Zon mengikut daerah masing-masing sebelum dipanjangkan kepada Bahagian Hartanah dan Prasarana KEDA untuk tindakan selanjutnya.
Soalan 4
Adakah semua permohonan di bawah Program Jalan Perhubungan Desa dan Ameniti Sosial akan terus diluluskan?
Jawapan
Tidak. Semua permohonan akan dinilai terlebih dahulu oleh Bahagian Hartanah dan Prasarana KEDA berdasarkan beberapa aspek, antaranya:
- Kesesuaian tapak
- Keadaan sebenar di lokasi
- Tahap dan kekerapan penggunaan jalan atau kemudahan
Sekiranya permohonan diluluskan, KEDA akan melaksanakan proses perolehan bagi melantik kontraktor sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.
Soalan 5
Bagaimanakah cara memohon rumah PPRT Desa-Desa KEDA?
Jawapan
Permohonan boleh dibuat di Pejabat KEDA Zon yang berhampiran mengikut daerah masing-masing.
Pemohon (Ketua Isi Rumah) perlu mengemukakan:
- Surat permohonan
- Salinan kad pengenalan suami dan isteri
- Salinan kad pengenalan atau sijil lahir anak/tanggungan
- Salinan sijil nikah
- Salinan sijil cerai atau sijil kematian pasangan (jika berkaitan)
- Dokumen sokongan lain (jika ada)
Pemohon juga digalakkan mendaftar dalam sistem eKasih bagi melengkapkan proses permohonan.
Soalan 6
Apakah syarat kelayakan untuk memohon rumah PPRT Desa-Desa KEDA?
Jawapan
Pemohon perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
- Tidak mempunyai rumah atau tanah sendiri.
- Pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,000 sebulan atau RM200 per kapita seorang, tertakluk kepada syarat kelayakan eKasih.
- Telah berkahwin atau merupakan ibu tunggal yang mempunyai tanggungan.
- Berumur antara 35 hingga 60 tahun, kecuali bagi kes-kes tertentu seperti orang kurang upaya atau kes kritikal.
- Mempunyai sekurang-kurangnya empat (4) orang tanggungan, tidak termasuk anak yang telah berkeluarga dan tertakluk kepada syarat pendapatan per kapita.
- Belum pernah menerima sebarang bantuan perumahan daripada mana-mana agensi.
Soalan 7
Berapa lamakah tempoh permohonan rumah PPRT Desa-Desa KEDA diproses?
Jawapan
Tiada tempoh pemprosesan yang tetap. Permohonan akan dipertimbangkan apabila terdapat kekosongan kuota rumah PPRT Desa-Desa KEDA di daerah yang dipohon.
Soalan 8
Bagaimanakah proses pemilihan peserta bagi rumah PPRT Desa-Desa KEDA dijalankan?
Jawapan
Proses pemilihan melibatkan beberapa peringkat seperti berikut:
- Siasatan oleh Pegawai KEDA Zon mengikut daerah.
- Penilaian sama ada pemohon memenuhi syarat kelayakan.
- Sesi temu duga bagi pemohon yang layak.
- Pemilihan akhir berdasarkan penilaian panel temu duga.
Soalan 9
Berapa lamakah tempoh proses pindah milik geran?
Jawapan
Tempoh proses pindah milik geran adalah sekitar tiga (3) bulan, termasuk urusan di Pejabat Tanah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi tujuan pembayaran duti setem.
Soalan 10
Bolehkah pindah milik kali kedua dibuat selepas geran didaftarkan kepada pemilik baharu?
Jawapan
Tidak boleh. Setiap geran tertakluk kepada sekatan pindah milik selama 10 tahun. Sebarang pertanyaan berkaitan pembukaan sekatan tersebut hendaklah dirujuk kepada Pejabat Tanah Daerah.
Soalan 11
Siapakah yang bertanggungjawab membayar hasil tanah selepas proses pindah milik selesai?
Jawapan
Bayaran hasil tanah menjadi tanggungjawab pemilik baharu yang namanya telah didaftarkan sebagai pemilik berdaftar dalam geran.
Soalan 12
Siapakah yang perlu membayar cukai pintu selepas proses pindah milik selesai?
Jawapan
Cukai pintu hendaklah dibayar oleh pemilik bangunan yang namanya telah didaftarkan sebagai pemilik dalam geran.
