MAJLIS PELANCARAN TABUNG DANA MASJID KARIAH SUNGAI JAGONG

SUNGAI PETANI – Bersempena Festival Kesenian Islam Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Tahun 2023 ini, turut dilancarkan Pelancaran Tabung Dana Pembinaan Masjid Kariah Sungai Jagong.
Sesi pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, YBrs. Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Pembinaan yang dijangka bermula pada Februari 2024 nanti akan mengambil masa 36 bulan dengan melibatkan 2 fasa iaitu pembinaan masjid dan juga kompleks.
Pembinaan masjid ini semestinya akan menjadi lokasi tumpuan penduduk setempat bagi melakukan ibadah dan juga mendalami ilmu agama dan kemasyarakatan.
Marilah kita sama-sama menderma dan menyampaikan pesanan ini kepada rakan-rakan dan orang ramai agar hasrat yang diimpikan penduduk kariah Sungai Jagong tercapai.

KEDA PERKEMAS PENILAIAN PRESTASI KAKITANGAN MELALUI MYPERFORMANCE

TELUK BAHANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meneruskan usaha memantapkan perjalanan operasi agensi melalui pengukuran prestasi dengan menganjurkan Bengkel HRMIS-Modul Pengurusan Prestasi (Sub Modul Myperformance).
Seramai 85 orang staf terlibat dalam bengkel yang dijalankan di Bahang Bay Hotel, disini. Turut hadir dalam bengkel ini adalah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Ketika berucap, beliau menyeru agar staf KEDA mendapatkan input sebanyaknya mengenai modul ini dan pastikan ianya fokus dan selari dengan Pelan Strategik KEDA.
“Myperfomance ini adalah salah satu kayu ukur untuk kita menilai pencapaian KEDA selari dengan Pelan Strategik KEDA 2021-2025.
Fokus ini perlu untuk kita pastikan program yang dirancang memberi manfaat kepada rakyat,” ujar beliau.
MyPerformance merupakan Sistem Pengurusan Prestasi Kumpulan Pengurusan Profesional Serta Kumpulan Pelaksana yang dibangunkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.
Ia diwujudkan adalah bertujuan untuk menggalakkan pembangunan diri melalui pembelajaran berterusan, menggalakkan penguasaan pengetahuan, kemahiran, kreativiti dan inovasi dalam pelaksanaan tugas, melahirkan pekerja berpengetahuan yang dapat meningkatkan keupayaan dan daya saing perkhidmatan awam serta mampu memenuhi ekspektasi pelanggan yang semakin
meningkat.

KOLEJ KEDA NAIB JOHAN AIPA TEKNIKAL KKDW 2023

PUTRAJAYA – Tahniah! Inilah ucapan penghargaan kepada Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang telah berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (AIPA) Teknikal Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2023 menerusi projek Cool and Hot Table.
Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula telah dinobatkan sebagai juara dengan membawa projek Irrigation Fertigation Effective Tool (EFET) sebagai wakil agensi.
Kolej KEDA berjaya ke peringkat akhir dengan membawa 2 projek iaitu Cool and Hot Table dan Patient Comfort Wheel.
Pertandingan kali ini menerima 10 penyertaan. Lima projek telah terpilih ke peringkat akhir.
Program ini diadili tiga juri professional dan pakar dalam bidang masing-masing iaitu Ts. Azimah binti Ismail, Pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS) selaku ketua juri, Dr. Sharmila binti Mohamad Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi dan Prof Madya Gs. Dr. Ruzinoor bin Che Mat, Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).
AIPA bertujuan memberi pengiktirafan kepada individu, kumpulan dan agensi yang berjaya melaksanakan inovasi di agensi masing-masing.

PROMOSI PROGRAM JENAMA KEDA DI KONTI KEDAHFM

ALOR SETAR – Program Pemerkasaan Penjenamaan Produk Usahawan di Wilayah KEDA (JENAMA) telah menjadi topik temubual promosi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di konti KedahFM di sini.
Sesi temubual promosi ini telah dihoskan oleh Deejay Bazz dan panel KEDA pula diwakili oleh Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi.
Turut hadir adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman dan Penolong Pengurus Pembangunan Usahawan, Cik Noor Shahida binti Jamil.
Program JENAMA adalah salah satu inisiatif KEDA, sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi membantu meningkatkan potensi produk desa dengan memfokuskan kepada kualiti pembungkusan, pelabelan dan pemasaran secara online mahupun offline.
Kepada usahawan yang berminat, bolehlah terus menghubungi pihak Bahagian Pembangunan Usahawan untuk maklumat lanjut.

KURSUS PENGENDALIAN JENGKAUT UNTUK DESA LESTARI BENDANG MAN, SIK

SIK – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 4, Sik berjaya mengadakan Kursus Pengendalian Jengkaut (Backhoe) bagi melengkapkan proses pembekalan jentera untuk Desa Lestari Bendang Man, Sik.
Kursus yang berlangsung di Bandar Serendah, Selangor, melibatkan pemandu utama, pemandu gantian, ahli lembaga koperasi, serta kakitangan KEDA.
Desa Lestari Bendang Man telah melibatkan tiga komponen utama untuk pemantapan infrastruktur mereka. Ini melibatkan pembinaan garaj, pembelian lori 3 tan, dan jengkaut (backhoe).
Dengan lengkapnya ketiga komponen ini, Koperasi Bendang Man dapat memulakan kerja-kerja pembinaan, merancakkan lagi peluang peningkatan pendapatan koperasi dan peluang pekerjaan kepada anggota.
Kursus ini adalah langkah positif untuk memastikan pemandu dan ahli koperasi dilengkapi dengan kecekapan dalam mengendalikan jengkaut (backhoe), seterusnya meningkatkan kapasiti pembangunan dan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

PENGURUS BESAR KEDA SERTAI LAWATAN KE TASIK KENYIR, TERENGGANU

HULU TERENGGANU – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff telah menyertai lawatan ke kawasan operasi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) iaitu di Tasik Kenyir.
Lawatan ini adalah bersempena Mesyuarat Penyelarasan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) yang dihoskan secara bersama oleh Bahagian Tanah dan Wilayah, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan KETENGAH.
Antara lokasi lawatan seusai tiba di Tasik Kenyir adalah ke Taman Herba, Taman Orkid dan Kenyir Elephant Conservation Village (KECV).
Turut hadir mewakili KEDA dalam lawatan ini adalah Pengurus Perancangan Pemantauan dan Penilaian, Encik Mohd Elias bin Hassan.
Tasik Kenyir adalah merupakan tasik terbesar yang pernah dibina oleh manusia untuk menjana kuasa elektrik di Asia Tenggara.
Tasik ini seluas 260 km persegi dan mengandungi 340 pulau kecil. Tasik ini sangat terkenal dengan keindahan semulajadi dengan kejernihan air tasiknya, kehijauan panorama alam dan kecantikan bukit bukau mengelilinginya.
Terima kasih KKDW
Terima kasih KETENGAH

KOLEJ KEDA BERSIARAN DI KONTI KEDAHFM

ALOR SETAR – Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah bersiaran secara langsung di konti KedahFM di sini.
Sesi temubual ini telah dihoskan oleh Deejay Ezza dan panel KEDA pula diwakili oleh Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa.
Turut hadir adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman dan Penolong Pengarah Kolej KEDA, Encik Muhammad Luqman bin Nazari.
Kolej KEDA merupakan sebuah kolej kemahiran di bawah agensi KEDA yang mula beroperasi pada 1 Mac 1989.
Kolej ini menawarkan 7 program kemahiran iaitu Automotif, Kulinari, Jahitan, Motosikal, Penyejukbekuan dan Penghawa dingin, Kimpalan dan Elektrik.
Permohonan kemasukan ke Kolej KEDA tahun 2024 telah pun dibuka dan bakal ditutup pada 15 Disember 2023.
Kepada belia beliawanis yang berminat, boleh terus menghubungi pihak kolej untuk maklumat dan pendaftaran.
Jom Masuk Kolej KEDA!

STAF KEDA MERANGKUL NAIB JOHAN PASUKAN CONGKAK MAKSAK KEBANGSAAN

PUTRAJAYA – Seorang staf Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Puan Sarina binti Nor membanggakan agensi ini apabila menjadi salah seorang atlet Kedah yang mendapat naib johan di Pertandingan Permainan Tradisional (Congkak) sempena Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Kebangsaan tahun ini.
Pertandingan yang berlangsung selama 4 hari di Dewan Putra MAKSAK, disini menyaksikan skuad congkak Kedah cemerlang dengan menewaskan pasukan negeri Perak dan Pulau Pinang di peringkat Suku Akhir dan Separuh Akhir.
Namun, pasukan ini tidak dapat meneruskan kecemerlangan apabila tumpas di tangan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di peringkat akhir.
Pasukan Negeri Kedah juga pulang bergaya untuk MAKSAK kategori permainan tradisional ini apabila Pasukan Dam Aji merangkul Johan dan Pasukan Batu Seremban mendapat tempat ketiga.
Secara keseluruhannya, Pasukan Negeri Kedah bagi Kategori Permainan Tradisional ini mendapat Tempat Ketiga dibelakang PDRM (Johan) dan Selangor (Naib Johan).
Tahniah kepada Puan Sarina yang mengharumkan nama KEDA di pentas MAKSAK Kebangsaan. Tahniah juga kepada semua yang terlibat dalam kejohanan ini. Semoga cerita kejayaan KEDA dan Kedah akan terus berkumandang.
KEDA Terbaik! Kedah Hebat!

KEDA SALUR BANTUAN KEPADA USAHAWAN ALUMNI KOLEJ KEDA

Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Kolej KEDA hari ini menyerahkan replika (mock cheque) bantuan peralatan kepada 17 orang usahawan TVET yang juga merupakan bekas pelajar Kolej KEDA.
Secara keseluruhannya, sebanyak RM 199,316 telah diperuntukkan kepada para penerima bantuan dalam bentuk geran peralatan.
Para usahawan alumni ini turut diraikan dalam program Kursus Pembangunan Usahawan ‘Digital Marketing’ Kolej KEDA Tahun 2023. Sesi simbolik penyerahan bantuan ini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa.
Memetik ucapan Pengurus Besar KEDA, beliau berkata bantuan peralatan yang disalurkan kepada penerima ini merupakan suntikan semangat buat usahawan Alumni Kolej KEDA. Bantuan ini diharap diharap dapat mempertajamkan skil kemahiran para alumni dan seterusnya melancarkan perniagaan yang telah diusahakan dan meningkatkan pendapatan mereka.
Beliau juga berharap agar peniagaan yang diceburi mereka terus berdaya saing dan maju.
Kursus Pembangunan Usahawan ‘Digital Marketing’ Kolej KEDA ini adalah merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dijalankan pihak Kolej dalam memupuk pengetahuan berkaitan teknologi dan pemasaran perniagaan secara atas talian di platform sosial media pada masa kini.

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN EKONOMI DAN PERJUMPAAN BERSAMA STAF BAGI ZON 1, LANGKAWI

LANGKAWI – Sempena lawatan kerja Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff ke Langkawi, satu sesi penyerahan bantuan ekonomi telah diadakan.
Serahan bantuan ekonomi berupa peralatan perniagaan ini melibatkan Projek Integrasi Pembangunan Kawasan Terpilih (PIKAT) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) bagi tahun 2023.
Seramai 25 orang penerima bantuan hadir ke sesi tersebut. Selesai majlis, sesi diteruskan dengan perjumpaan Pengurus Besar bersama staf Pejabat Zon 1, Langkawi.
Taklimat ringkas tentang pentadbiran KEDA di daerah Langkawi telah diberikan oleh Pegawai Pembangunan KEDA Zon 1, Langkawi, Encik Othman bin Hashim.