BERBALOI ‘SHOPPING’ DI PROGRAM JUALAN KASIH KEDA MADANI

BERBALOI ‘SHOPPING’ DI PROGRAM JUALAN KASIH KEDA MADANI

SIK – “Berbaloi shopping di Program Jualan Kasih KEDA Madani”, itulah luahan rata-rata pengunjung yang ditemui di Program Jualan Kasih KEDA Madani Tahun 2024 yang diadakan di Perkarangan Pejabat KEDA Zon 4, Sik semalam.
Kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) cuba mendapat maklum balas dari rata-rata pengunjung yang hadir ke program jualan itu dan masing-masing meluahkan rasa berpuas hati dan berbaloi dengan tawaran harga yang ditawarkan.
Pengunjung, Daud Md Amin,67, berkata dia mengetahui jualan kasih itu melalui jiran dan terus datang bersama isterinya.
“Saya sempat membeli beras 5 kilogram pada harga RM14, pek ‘Happy hour’, serta beberapa barangan lain termasuk sayur-sayuran.
“Jualan daging juga murah dan berbaloi dibeli kerana dijual pada harga RM26.60 sekilogram adalah sangat murah dari kedai,” katanya.
Sementara itu, Encik Embun Musa,75, datang dari Kuala Ketil bersama anak perempuannya untuk mendapatkan barangan pada harga murah.
“Saya tahu pasal jualan ni melalui Radio Kedah FM dan mulanya hasrat datang untuk tengok sahaja tapi sebab murah, banyak juga barangan yang dibeli dan kami berpuas hati belanja di sini,” katanya.
Semalam, kira-kira 2,000 pengunjung berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
Program itu diadakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Kedah yang bertujuan membantu rakyat akibat keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini.
KEDA TERLIBAT DALAM PROGRAM KITA MADANI NEGERI KEDAH

KEDA TERLIBAT DALAM PROGRAM KITA MADANI NEGERI KEDAH

SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah meneruskan sokongan kepada gerak kerja kerajaan dengan terlibat secara langsung dalam Program Kita MADANI.
Program yang telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari telah melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan Jualan Rahmah MADANI.
Turut hadir memeriahkan acara adalah skuad KedahFM yang berada sejak awal pagi di sana. Antara aktiviti yang dijalankan pula adalah pertandingan petanque, jualan produk usahawan dan pameran agensi seperti Pasukan Penyelamat serta Kolej Komuniti.
KEDA telah hadir dengan membuka lori pameran untuk memudahkan orang ramai bertanya mengenai KEDA termasuk pakej-pakej bantuan yang terdapat di agensi ini.
PENDUDUK DESA KEDA BENDANG MAN TERLIBAT DALAM KAJIAN INFRASTRUKTUR DIGITAL NEGARA

PENDUDUK DESA KEDA BENDANG MAN TERLIBAT DALAM KAJIAN INFRASTRUKTUR DIGITAL NEGARA

SIK – Penduduk Desa KEDA Bendang Man, Sik telah dipilih sebagai responden dalam Sesi Kajian Infrastruktur Digital Negara yang dijalankan baru-baru ini oleh pasukan penyelidikan dari Universiti Teknologi MARA (UITM) Kedah.
Sesi kajian ini dijalankan melalui perbincangan kumpulan fokus (focus group discussion) yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di Desa KEDA Bendang Man. Antara responden yang terlibat termasuklah kumpulan usahawan kecil, pekerja swasta, pelajar, Orang Kurang Upaya (OKU), dan warga emas.
Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada penduduk setempat mengenai infrastruktur digital di kawasan mereka, sekaligus membantu pihak berwajib dalam memperbaiki dan memperkukuhkan jaringan digital di luar bandar.
Pegawai Pembangunan Zon 4, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan, turut hadir menjayakan sesi kajian tersebut.
KAKITANGAN KEDA TERIMA WATIKAH PELANTIKAN PEGAWAI BARISAN HADAPAN KKDW 2024

KAKITANGAN KEDA TERIMA WATIKAH PELANTIKAN PEGAWAI BARISAN HADAPAN KKDW 2024

PUTRAJAYA – Dua kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah dilantik sebagai Pegawai Barisan Hadapan (PBH) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tahun 2024.
Dua kakitangan yang dilantik tersebut adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman dan Encik Abdul Mu’min bin Mohd Rozi.
Penyerahan watikah pelantikan dengan konsep dan tema sambutan Syawal ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Dato’ Seri Ramlan bin Dato’ Harun. Turut hadir dalam majlis ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, YBhg. Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff serta barisan pengurusan tertinggi KKDW yang lain.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran saudara Fadzly Fuad, pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) selaku pengacara majlis dan persembahan nyanyian oleh artis tempatan, Syura.
Pegawai Barisan Hadapan KKDW dilantik daripada pegawai-pegawai pelbagai gred di peringkat Kementerian, Pejabat KKDW Negeri dan agensi yang bertujuan untuk menyelaras aduan dan pertanyaan berkaitan perkhidmatan KKDW dan agensi.
Aduan dan pertanyaan ini diterima daripada orang ramai berkenaan operasi agensi dan direspon oleh PBH dalam konteks menyantuni rakyat terhadap pertanyaan dan permasalahan rakyat.
Semoga KKDW dan KEDA terus diberi kemudahan dan kelancaran dalam menyampaikan peranan kepada rakyat agar aspirasi Mensejahterakan Luar Bandar dapat direalisasikan.