IKLAN JAWATAN KOSONG DI LEMBAGA KEMAJUAN WILAYAH KEDAH (KEDA) 2025

Untuk permohonan jawatan, sila ke pautan : https://ejawatan.keda.gov.my
Butiran jawatan : Skim Jawatan Kosong KEDA

DESA KEDA KOTA AUR MERIAH DENGAN PROGRAM KHATAN BERAMAI-RAMAI

DESA KEDA KOTA AUR MERIAH DENGAN PROGRAM KHATAN BERAMAI-RAMAI

SIK – Seramai hampir 20 kanak-kanak dari Desa KEDA Kota Aur melangkah ke alam dewasa baru-baru ini apabila berjaya menjalani Program Khatan Beramai-ramai yang berlangsung dengan penuh meriah.
Program anjuran Pejabat KEDA Zon 4, Sik ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Sik, yang menceriakan suasana dengan semburan air sebagai pembuka acara.
Kejadian itu disambut dengan gelak ketawa, sekali gus mengurangkan kegelisahan kanak-kanak sebelum proses khatan bermula.
Menurut Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Kota Aur, mereka amat berpuas hati dengan perjalanan program yang menyaksikan sokongan padu daripada penduduk setempat.
Pelbagai gelagat comel kanak-kanak dapat dilihat hari ini, menjadikan program ini lebih bermakna dan mengeratkan hubungan komuniti.
Program ini bukan sahaja memfokuskan kepada aspek kesihatan dan tradisi, tetapi juga berfungsi sebagai platform mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk Desa KEDA.
Keseluruhan acara berlangsung dengan lancar, meninggalkan kenangan manis buat para peserta dan keluarga mereka.
35 SUKARELAWAN KEDA ZON 7 KUALA MUDA/YAN SERTAI MISI BANTUAN BENCANA BANJIR DI MUKIM DERANG

35 SUKARELAWAN KEDA ZON 7 KUALA MUDA/YAN SERTAI MISI BANTUAN BENCANA BANJIR DI MUKIM DERANG

POKOK SENA – Seramai 35 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Pejabat KEDA Zon 7, Kuala Muda/Yan, Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Tepi Sungai serta belia dari Desa KEDA Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, telah menyertai Misi Bantuan Bencana Banjir di Mukim Derang, Pokok Sena.
Misi ini bertujuan membantu penduduk yang terjejas akibat banjir dengan menyampaikan bantuan keperluan harian seperti bakul makanan, air mineral, ikan, beras, dan pelbagai barangan asas lain.
Selain itu, sukarelawan juga berganding bahu membantu membersihkan kawasan perumahan penduduk yang terjejas.
Langkah ini penting untuk memastikan keadaan persekitaran kembali bersih dan selamat untuk didiami.
Menurut wakil sukarelawan, usaha ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana serta memberikan mereka harapan untuk memulakan semula kehidupan seperti sediakala.
Misi ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak yang menyumbangkan masa, tenaga, dan bahan bantuan. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan misi kemanusiaan ini.
Semoga usaha sebegini terus diperkasakan dalam membantu komuniti yang memerlukan di masa hadapan.
LAWATAN TW KKDW KE PROSPEK TELOI, SIK

LAWATAN TW KKDW KE PROSPEK TELOI, SIK

SIK – Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Teloi Sik telah menerima kunjungan daripada Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Lawatan ini bertujuan untuk melihat sejauh mana perjalanan PROSPEK Teloi sepanjang 3 tahun dijalankan.
Lawatan ini disertai Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Cik Suhaila Hamzah.
Turut disertai pegawai-pegawai Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Bahagian Niagatani, Bahagian Hartanah dan Prasarana dan Bahagian Pembangunan Usahawan turut terlibat dalam menjayakan sesi lawatan ini.
Lawatan sepanjang hari ini memfokuskan 7 lokasi yang melibatkan komponen-komponen ekonomi, perumahan dan prasarana.
PROSPEK merupakan projek yang menfokuskan kepada pembangunan di beberapa perkampungan sedia ada yang berdekatan (sekurang-kurangnya lima buah kampung) tanpa melibatkan pembukaan kawasan baharu (Insitu Development).
Program PROSPEK ini berkonsepkan kepada pembangunan niche product dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan/swasta dan institusi pendidikan.
Projek ini bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar melalui program peningkatan pendapatan, meningkatkan kualiti hidup serta menaiktaraf kemudahan prasarana di kampung-kampung sedia ada.
KEDA DAN SLAYYVB ADAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA TAMPAR

KEDA DAN SLAYYVB ADAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA TAMPAR

ALOR SETAR — Pasukan bola tampar wanita Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menampilkan aksi yang mengagumkan dalam perlawanan persahabatan menentang SLAYYVB, pasukan bola tampar wanita Batalion 2 Pasukan Gerakan Am.
Pertandingan ini menarik minat ramai peminat sukan dan menjadi pentas bagi kedua-dua pasukan menunjukkan bakat mereka.
SLAYYVB memulakan perlawanan dengan penuh semangat, mendominasi set pertama melalui serangan yang padu dan pertahanan yang mantap. Namun, KEDA tidak berputus asa dan menunjukkan kebangkitan dalam set berikutnya, dengan strategi permainan yang lebih teratur.
Perlawanan berlangsung sengit hingga ke set penentu, di mana kedua-dua pasukan saling bertukar kelebihan. Akhirnya, SLAYYVB meraih kemenangan dengan keputusan 1-2 namun pujian harus diberikan kepada kesungguhan dan kesungguhan pasukan bola tampar wanita KEDA ini.
Selain terus memperbaiki teknik permainan bola tampar, perlawanan ini juga menjadi platform untuk mengeratkan silaturrahim antara kedua-dua pasukan.
Pasukan KEDA diwakili oleh Puan Haslia Binti Abu Hasan (Bahagian Niagatani), Rohazniza Binti Mohamd Yusof (Bahagian Hartanah dan Prasarana), Puan Munirah Binti Abdul Rahman (Bahagian Hartanah dan Prasarana), Puan Nurul Aqilah Binti Ishak (Unit Pelaburan dan Kawal Selia Anak Syarikat), Puan Siti Ainshah binti Yusub (Kolej KEDA) dan Puan Farah Husna binti Zainol Rashid (Unit Komunikasi Korporat).
KEDA berharap dalam menyokong agenda Negara dalam menyemarakkan Sambutan Hari Sukan Negara.
Warga Aktif, KEDA Produktif!
KAKITANGAN KEDA IKUTI KURSUS CANVA

KAKITANGAN KEDA IKUTI KURSUS CANVA

PULAU PINANG – Seramai 10 kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengikuti Kursus Canva yang dianjurkan oleh Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai baru-baru ini.
Kursus ini bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran kakitangan dalam menghasilkan bahan-bahan grafik yang menarik dan berkesan menggunakan platform reka bentuk dalam talian, Canva.
Kakitangan yang terlibat mewakili pelbagai bahagian dan unit KEDA, antaranya Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK), Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP), Pejabat Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Unit Teknologi Maklumat (UTM) dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) KEDA.
Sepanjang kursus ini, peserta telah didedahkan kepada tiga modul utama. Modul pertama memberi tumpuan kepada pengenalan kepada Canva dan fungsinya, manakala modul kedua membahas Teori Rekabentuk Grafik, yang merangkumi teknik menghasilkan rekabentuk yang efektif, pemilihan warna yang sesuai, serta langkah-langkah penting dalam menghasilkan grafik.
Program diteruskan dengan modul ketiga yang memberi penekanan kepada penggunaan Antara Muka Canva. Modul ini diakhiri dengan sesi praktikal yang melibatkan penghasilan rekabentuk grafik seperti poster promosi, infografik, dan slaid persembahan.
Para peserta juga dilatih menggunakan alatan dan elemen reka bentuk Canva, termasuklah elemen grafik, lapisan dan kumpulan elemen, rekabentuk teks dan tipografi, serta penggunaan imej, media, video, dan animasi.
Sesi kursus diakhiri dengan aktiviti penghasilan rekabentuk grafik oleh peserta bagi menguji pemahaman mereka terhadap kandungan kursus. Hasil kreativiti peserta dinilai melalui rekabentuk poster, infografik, dan slaid persembahan.
Majlis penutupan kursus ini disempurnakan dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Pengarah ILP Perai, Ts. Yuslan bin Yasok, kepada semua peserta.
Kursus ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan kakitangan KEDA dalam penghasilan bahan komunikasi yang lebih efektif, selari dengan perkembangan teknologi semasa.
KURSUS PEMANTAPAN DAN PENGUKUHAN GERAK KERJA 4P DESA-DESA KEDA ZON 7

KURSUS PEMANTAPAN DAN PENGUKUHAN GERAK KERJA 4P DESA-DESA KEDA ZON 7

PERLIS – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 7 Kuala Muda/Yan telah menganjurkan kursus Pemantapan dan Pegukuhan Gerak Kerja Jawatankuasa Perancang dan Pelaksana Program (4P) bagi Desa-Desa KEDA dibawah selian Pejabat KEDA Zon 7 Kuala Muda/ Yan di Timah Tasoh Resort, Perlis.
Kursus yang dijalankan selama 3 hari 2 malam ini bertujuan memberikan input berkaitan pengurusan , urus tadbir dan tatakelola setiap Jawatankuasa 4P Desa-Desa KEDA Zon 7.
Para peserta juga dibawa melawat Kampung Pelangi di Kuala Perlis bagi memberikan pendedahan tentang kaedah pembangunan kampung dan kelestarian penduduk.
Diawal program, para peserta diberikan motivasi dan insprirasi oleh pendakwah terkenal, Ustaz Lutfi Amir Saidin, Pegawai JAKIM di Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Kedah.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam Omar, dan turut hadir Pegawai Pembangunan KEDA Zon 7, Anuar Omar.
Selain itu, pegawai daripada Unit Komunikasi Korporat (UKK) Encik Mohd Nasir Abdullah, turut menyampaikan taklimat berkaitan pengurusan acara dan program serta Penolong Pengurus Bahagian Hartanah dan Prasaran (BHP), Encik Mohd Zahir Hassan telah menyampaikan taklimat berkaitan kependudukan di Desa KEDA.
Diharapkan agar program ini dapat memberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran baru kepada setiap Jawatankuasa 4P Desa KEDA Zon 7 seterusnya dapat membangunkan kampung masing-masing selaras dengan kehendak KEDA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Terima kasih kepada Pengurusan KEDA, para peserta, semua urusetia, para penceramah dan semua pihak yang menjayakan program ini.
KEJOHANAN SUKAN DESA-DESA KEDA (KESUDA) PERINGKAT ZON 9, DAERAH BANDAR BAHARU 2024 BERJAYA DIANJURKAN

KEJOHANAN SUKAN DESA-DESA KEDA (KESUDA) PERINGKAT ZON 9, DAERAH BANDAR BAHARU 2024 BERJAYA DIANJURKAN

BANDAR BAHARU – Kejohanan Sukan Desa-Desa KEDA (KESUDA) Peringkat Zon 9 bagi Daerah Bandar Baharu telah berlangsung dengan penuh meriah di Kompleks Sukan Daerah Bandar Baharu.
Program tahunan ini berjaya mengumpulkan penyertaan yang aktif daripada komuniti setempat melalui tiga kategori sukan utama iaitu Futsal, Bola Jaring, dan E-Sport.
Majlis perasmian kejohanan ini disempurnakan oleh Penolong Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohamad Nasri bin Ahmad Shukri, yang dalam ucapannya memuji semangat kesukanan yang ditonjolkan oleh para peserta serta sokongan padu dari semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara ini.
Kejohanan seperti ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat, tetapi juga mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara komuniti di desa-desa KEDA.
Program ini mendapat sambutan hangat daripada peserta dan penonton, dengan pelbagai acara menarik berlangsung sepanjang hari.
Kejohanan KESUDA ini dilihat sebagai satu platform yang dapat memperkukuh hubungan antara desa serta memperkasakan belia melalui aktiviti sihat dan bermanfaat.
Pejabat KEDA Zon 9 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam menjayakan kejohanan ini, termasuk para peserta, penganjur, dan sukarelawan.
PROGRAM MALAM CINTA RASUL KEDA ZON 9 DI DESA KEDA SUNGAI TENGAS

PROGRAM MALAM CINTA RASUL KEDA ZON 9 DI DESA KEDA SUNGAI TENGAS

BANDAR BAHARU – Sempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1446H, Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Sungai Tengas, dengan kerjasama Pejabat KEDA Zon 9 Bandar Baharu, telah berjaya menganjurkan Program Malam Cinta Rasul @ KEDA Zon 9.
Program yang diadakan di Desa KEDA Sungai Tengas ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.
Acara dimulakan dengan persembahan Qasidah merdu oleh Kumpulan Shoutul Muhibbin yang mengagungkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Seterusnya, slot ceramah agama disampaikan oleh Ustaz Nazri Hanafi, yang lebih dikenali sebagai “Ustaz Bollywood Junior”. Ceramah tersebut menyentuh tentang kehidupan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan dan kepentingan menghayati nilai-nilai yang dibawa oleh baginda.
Program ini bertujuan untuk mempereratkan silaturahim dalam kalangan komuniti Desa KEDA serta memupuk kecintaan kepada Rasulullah SAW. Harapan besar turut disuarakan agar program seumpama ini mampu melahirkan lebih ramai modal insan yang bertaqwa serta mewujudkan keluarga dan masyarakat yang mawaddah wal rahmah.
Ucapan terima kasih dan tahniah diberikan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini, termasuk para tetamu yang hadir sebagai tanda kecintaan mereka terhadap junjungan Nabi Muhammad SAW.
PROGRAM SEMARAK KOMUNITI SIK 2024 MERIAH DI DESA KEDA TELAGA BATU

PROGRAM SEMARAK KOMUNITI SIK 2024 MERIAH DI DESA KEDA TELAGA BATU

SIK – Program Semarak Komuniti Sik yang berlangsung di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Telaga Batu, Sik pada Sabtu lalu berjaya menarik kehadiran ramai penduduk setempat.
Program ini dianjurkan dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan komuniti melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat.
Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk Explorace Belia, Sukan Rakyat, Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak, Jualan Rahmah dengan harga yang berpatutan, serta Pemeriksaan Kesihatan Percuma yang mendapat sambutan baik daripada penduduk.
Selain itu, program ini turut mengadakan Derma Darah, Pameran Agensi, dan Gerai Jualan yang menawarkan pelbagai barangan keperluan harian.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Latihan Komuniti Akademi Kenegaraan Malaysia Pejabat Perdana Menteri, Encik Mohd Hasri bin Mohd Hadzir.
Pegawai Pembangunan KEDA Zon 4, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan turut hadir dan menyatakan rasa puas hati dengan penglibatan aktif penduduk dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
Acara turut dimeriahkan dengan Cabutan Bertuah yang menambahkan lagi kegembiraan peserta yang hadir.
Program ini mencerminkan usaha KEDA dalam menyatukan komuniti melalui aktiviti-aktiviti yang bersifat kemasyarakatan, di samping memberi manfaat kesihatan dan kesejahteraan kepada penduduk setempat.