KAKITANGAN KEDA IKUTI KURSUS CANVA
PULAU PINANG – Seramai 10 kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengikuti Kursus Canva yang dianjurkan oleh Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai baru-baru ini.
Kursus ini bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran kakitangan dalam menghasilkan bahan-bahan grafik yang menarik dan berkesan menggunakan platform reka bentuk dalam talian, Canva.
Kakitangan yang terlibat mewakili pelbagai bahagian dan unit KEDA, antaranya Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK), Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP), Pejabat Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Unit Teknologi Maklumat (UTM) dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) KEDA.
Sepanjang kursus ini, peserta telah didedahkan kepada tiga modul utama. Modul pertama memberi tumpuan kepada pengenalan kepada Canva dan fungsinya, manakala modul kedua membahas Teori Rekabentuk Grafik, yang merangkumi teknik menghasilkan rekabentuk yang efektif, pemilihan warna yang sesuai, serta langkah-langkah penting dalam menghasilkan grafik.
Program diteruskan dengan modul ketiga yang memberi penekanan kepada penggunaan Antara Muka Canva. Modul ini diakhiri dengan sesi praktikal yang melibatkan penghasilan rekabentuk grafik seperti poster promosi, infografik, dan slaid persembahan.
Para peserta juga dilatih menggunakan alatan dan elemen reka bentuk Canva, termasuklah elemen grafik, lapisan dan kumpulan elemen, rekabentuk teks dan tipografi, serta penggunaan imej, media, video, dan animasi.
Sesi kursus diakhiri dengan aktiviti penghasilan rekabentuk grafik oleh peserta bagi menguji pemahaman mereka terhadap kandungan kursus. Hasil kreativiti peserta dinilai melalui rekabentuk poster, infografik, dan slaid persembahan.
Majlis penutupan kursus ini disempurnakan dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Pengarah ILP Perai, Ts. Yuslan bin Yasok, kepada semua peserta.
Kursus ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan kakitangan KEDA dalam penghasilan bahan komunikasi yang lebih efektif, selari dengan perkembangan teknologi semasa.