CERAMAH AGAMA SEMPENA PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BAHARU WARGA MADANI DI DESA KEDA KELEDANG

BALING – Pembangunan modal insan dan kerohanian adalah penting dalam mendepani cabaran masa akan datang bagi melahirkan masyarakat berkeperibadian dan berkualiti tinggi.
Untuk itu, Lembaga Kemajuan Wilayah KEDA melalui Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) KEDA merencanakan satu Program Penghayatan Tahun Baru Warga Madani sempena menghayati Ambang Tahun Baru 2024 baru-baru ini.
Program ceramah agama dipilih oleh Pejabat KEDA Zon 5, Baling untuk diadakan di Desa KEDA Keledang bertujuan memberi pengisian ilmu tentang pentingnya mengingati kematian.
Perkongsian ilmu itu disampaikan oleh Pegawai Psikologi Pejabat Pendidikan Daerah Baling, Ustaz Mohd Nazri bin Yaakub.
Turut menjayakan program ini iaitu Jawatankuasa 4P Desa KEDA Keledang.
Antara perkongsian lain yang turut ditekankan dalam ceramah itu adalah berkaitan mencintai Allah dan Rasul serta sentiasa bersikap positif.
Semoga perkongsian ini memberi input bermakna buat para penduduk dalam menempuh tahun baru yang mencabar ini.

CERAMAH AGAMA PENGHAYATAN TAHUN BAHARU 2024 DI DESA KEDA BATU 8

BALING – Program Penghayatan Tahun Baharu 2024 diteruskan lagi di Desa KEDA Batu 8, di bawah Pejabat Pembangunan Zon 5, Baling dengan penganjuran ceramah agama sempena menghayati Ambang Tahun Baru 2024 baru-baru ini.
Program yang dilaksanakan pada Sabtu itu dihadiri penduduk setempat dari pelbagai golongan umur sebagai langkah usaha untuk menambah pengetahuan agama kepada penduduk Desa KEDA.
Pelbagai perkongsian ilmu yang disampaikan kepada penduduk antaranya peringatan dalam meningkatkan keazaman untuk sentiasa sedar akan 5 perkara yang menanti manusia apabila bertemu Allah SWT selepas kematian kelak.
Antara lain yang dikongsi adalah berkaitan kematian dan pengurusan harta pusaka.
Oleh itu, penghayatan tahun baharu ini akan menjadi pembelajaran berguna demi diri, komuniti yang terbaik dan seimbang di dunia dan akhirat kelak khususnya bagi penduduk Desa KEDA.
Pelaksanaan program ini telah berjaya mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa 4P Desa KEDA.

KURSUS PENGURUSAN JENAZAH SEMPENA PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BAHARU DESA KEDA BANDAR

BALING – Pengurusan jenazah adalah Fardhu Kifayah yang seharusnya dipelajari oleh umat Islam.
Untuk itu, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 5, Baling telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah di Desa KEDA Bandar sempena Program Penghayatan Tahun Baharu Warga Madani Desa KEDA Bandar.
Kursus itu dikendalikan secara teori dan praktikal oleh Ketua Guru KAFA Sekolah Kebangsaan Kampung Bandar, Ustazah Zurina binti Hashim dengan kerjasama Jawatankuasa 4P Desa KEDA Bandar.
Dengan adanya kursus ini, peserta dapat menambah ilmu pengetahuan dengan mengajukan soalan-soalan berkaitan pengurusan jenazah dah hal ehwal kematian.
Selain itu, program ini juga memberikan impak positif kepada masyarakat setempat yang merangkumi pelbagai golongan umur dalam memenuhi tuntutan agama.

PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BAHARU 2024 DI DESA KEDA SADEK

BALING – Semangat positif terus ditunjukkan oleh penduduk Desa KEDA Sadek. Terbaharu, penduduk desa ini bersemangat menjayakan Program Gotong Royong dan Majlis Bacaan Yasin serta Tahlil Penghayatan Tahun Baharu 2024 baru-baru ini.
Program bersempena menghayati Ambang Tahun Baru 2024 itu dilihat dapat meningkatkan dan mengeratkan hubungan silaturrahim kekeluargaan di kalangan penduduk Desa KEDA Sadek dan juga masyarakat setempat.
Selesai gotong-royong, program diteruskan dengan majlis bacaan yasin dan tahlil bagi memberkati dan tahun baharu yang bakal ditempuh penduduk.
Perlaksanaan program KEDA ini telah berjaya mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa 4P Desa KEDA Sadek dan penduduk setempat.
Kejayaan program ini menjadi contoh bagi komuniti lain dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan perpaduan di peringkat tempatan.

KUNJUNG HORMAT YB MUHAMMAD RADHI BIN MAT DIN KE KEDA

ALOR SETAR – Pihak pengurusan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berbesar hati menerima kunjungan hormat dari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan), YB Hj Muhammad Radhi bin Mat Din ke Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.
Kehadiran YB Exco disambut oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar dan Ketua Unit Komunikasi Korporat KEDA, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman.
Seterusnya, YB Exco dibawa terus ke Pejabat Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Dalam kunjung hormat tersebut, dibincangkan beberapa perkara melihat kepada fungsi KEDA dan apa yang boleh dikolaborasi bersama dengan skop dan bidang tugas YB Exco.
Turut dibincangkan berkaitan pembangunan belia terutamanya di kawasan luar bandar dan perbincangan strategi dan langkah-langkah KEDA dalam membantu masyarakat luar bandar, desa untuk memastikan kos sara hidup berada di tahap yang stabil.
Perbincangan lain juga menjurus ke arah hal ehwal isu semasa sukan terutamanya di peringkat negeri Kedah.
Majlis diakhiri dengan sesi lawatan di pejabat dan penyerahan cenderamata dan menandatangani buku pelawat sebagai tanda ucapan dan terima kasih.
Terima kasih kepada YB Exco serta pegawai pengiring atas kesudian berkunjung ke KEDA. Semoga kerjasama yang terjalin terus berkekalan.

KAKITANGAN BAHARU KEDA DIBERI PENDEDAHAN AWAL GERAK KERJA OPERASI KEDA

ALOR SETAR – 19 pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) lantikan baharu tahun 2024 diberi pendedahan awal berkaitan gerak kerja operasi KEDA.
Pendedahan diberikan melalui satu lawatan ke Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), Pejabat KEDA Zon 8 (PKZ8), dan Projek Pembangunan Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) di Binjal, Napoh daerah Kubang Pasu, di sini.
Pendedahan itu perlu agar semua kakitangan lantikan baharu ini memahami dengan jelas operasi KEDA dan projek-projek yang dijalankan KEDA sebelum mereka ditempatkan di mana-mana bahagian, unit, PKZ atau Kolej KEDA.
Besar harapan Pengurusan KEDA agar semua pegawai dan kakitangan baharu 2024 dapat memahami dengan jelas operasi KEDA dalam membantu penduduk luar bandar.

SELAMAT BERTUGAS KAKITANGAN BAHARU KEDA

ALOR SETAR – Selamat datang dan selamat bertugas warga KEDA yang baharu. Seramai 19 kakitangan baharu Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah dilantik bagi tahun 2024 ini.

Pegawai-pegawai lantikan baharu ini telah melaporkan diri di Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar di sini hari ini.

Mereka yang melaporkan diri ini terdiri daripada kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) gred 41sehingga staf Kumpulan Pelaksana (gred 29-11).

Mereka yang mula hadir sejak jam 8.00 pagi telah mendaftar dan mengikuti beberapa sesi taklimat dan penerangan yang diselaraskan oleh Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM) KEDA.

Sesi Taklimat operasi KEDA telah disampaikan oleh Pengurus Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP), Encik Mohd Elias bin Hassan dan taklimat Koperasi KEDA disampaikan oleh Setiausaha Koperasi KEDA, Encik Muhammad Nasir bin Abdullah.

Turut disampaikan iaitu taklimat berkaitan Integriti dan Perundangan yang disampaikan oleh Ketua Unit, Nur Aqilah binti Azmi.

Mereka akan ditempatkan di beberapa bahagian secara penempatan silang seperti di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Kolej KEDA dan Pejabat KEDA Zon mengikut keperluan dan perjawatan KEDA.

Sekali lagi, Selamat Bertugas Warga KEDA

AMANAT PENGURUS BESAR KEDA KEPADA PEGAWAI DAN KAKITANGAN LANTIKAN BAHARU TAHUN 2024

ALOR SETAR – Pegawai perlu bertindak jujur, amanah, akauntabiliti serta patuh kepada peraturan dan undang-undang sepanjang bertugas di samping menjaga nama baik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Inilah di antara pesanan Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff pada Sesi Perjumpaan dan Pengenalan Kakitangan KEDA Lantikan Baharu Tahun 2024 bersama Pengurus Besar.
Sesi tersebut diadakan di Bilik Mesyuarat Angsana, Kompleks Ibu Pejabat KEDA disertai 19 kakitangan lantikan baharu 2024.
Antara lain yang turut diberi amanat oleh YBhg. Tuan Pengurus Besar iaitu pegawai perlu bijak dan bersikap professional ketika berurusan dengan golongan sasar terutamanya penduduk kampung dan perlu mengelakkan emosi dan perasaan marah.
“Pegawai yang berjaya pada hari ini perlu bersyukur kerana calon keseluruhan yang memohon dalam penjawatan KEDA iaitu seramai lebih 7,000 orang.
“Perlu diingatkan nikmat rezeki mendapat kerja perlu diperluaskan dengan berbakti kepada ibu bapa dan keluarga,” katanya.

PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BAHARU 2024 DI DESA KEDA ULU LEGONG

BALING – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 5, Baling tidak ketinggalan menganjurkan Program Penghayatan Tahun Baharu 2024 di Desa KEDA Ulu Legong di sini.
Program penghayatan melalui ceramah agama itu adalah sebagai usaha untuk menambah pengetahuan agama kepada penduduk Desa KEDA.
Ceramah dan perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Guru Agama Sekolah Kebangsaan Bandar, Al-Fadhil Ustaz Mohamad Isa bin Salleh kepada warga penduduk Desa KEDA Ulu Legong yang sama-sama hadir mengimarahkan program sempena penghayatan tahun baharu ini.
Antara perkongsian ilmu yang telah disampaikan ialah berkaitan pengajaran dan motivasi yang boleh dijadikan azam dan tekad baru untuk sentiasa berubah menjadi lebih baik dan seterusnya meletakkan Allah SWT sebagai paksi utama dalam hidup sebagai seorang insan dan hamba khususnya ketika melaksanakan amal ibadah kepada Allah SWT
Program ini turut dimeriahkan dengan majlis bacaan tahlil dan doa selamat oleh semua penduduk yang hadir sejurus selepas solat Isyak secara berjemaah.
Penghargaan terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini.

PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BAHARU 2024 DI DESA KEDA TELUK TEDURI

PROGRAM PENGHAYATAN TAHUN BAHARU 2024 DI DESA KEDA TELUK TEDURI
BALING – Program sukaneka dan majlis bacaan Yasin serta tahlil sempena menghayati Ambang Tahun Baru 2024 diteruskan di Desa KEDA Teluk Teduri, di sini.
Program yang berlangsung pada Khamis itu, dihadiri penduduk setempat dari pelbagai golongan umur, telah meningkatkan daya aktif komuniti untuk terus bersemangat dalam memajukan diri dan komuniti setempat.
Aktiviti seperti sukaneka kanak-kanak dan dewasa telah mengeratkan lagi silaturahim serta hubungan kekeluargaan dalam kalangan penduduk tanpa mengira umur khususnya bagi penduduk Desa KEDA dan juga masyarakat setempat
Bagi menambah keberkatan menyambut tahun baru, program ini turut disertai dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil yang dikendalikan oleh Pengerusi 4P Desa KEDA, Ustaz Abdul Rahman.
Perlaksanaan program ini berjaya atas kerjasama erat Jawatankuasa 4P Desa KEDA dan semua pihak terlibat, menunjukkan sinergi yang positif dalam memperkukuhkan komuniti setempat.