JUALAN KASIH KEDA MADANI SEMAKIN DIKENALI RAMAI

JUALAN KASIH KEDA MADANI SEMAKIN DIKENALI RAMAI

KULIM – Program Jelajah Jualan Kasih KEDA MADANI yang dianjurkan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) semakin dikenali ramai dan menjadi program yang dinanti-nantikan penduduk di Kedah.
Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom berkata program jualan kasih KEDA MADANI semakin dikenali ramai selepas penganjuran di tujuh daerah sejak tahun lalu.
“Jualan Kasih KEDA Madani dirintis bermula Januari 2024 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Alor Setar, kemudian siri jelajah diteruskan di Pejabat Zon 4 Sik, Desa KEDA Singkir Badong, Yan dan Pejabat Bahagian Pembangunan Usahawan, Napoh, Jitra.
“Inisiatif tersebut diteruskan pada tahun ini di Pejabat Zon 5, Baling pada Februari lalu diikuti di Dewan Pusat Kegiatan Ekonomi, Kampung Guar Lobak di Padang Serai, di sini.
Menurutnya, KEDA telah memperuntukkan kira-kira RM225,789 untuk menganjurkan Program Jelajah Jualan Kasih KEDA Madani untuk tujuh lokasi termasuk daerah Padang Terap yang bakal diadakan sekitar Jun atau Julai depan.
“Kira-kira 4,000 hingga 5,000 orang akan datang ke setiap Jualan Kasih KEDA Madani yang dianjurkan, ada yang sanggup datang dari jauh dengan membawa ahli keluarga dan rakan bersama,” katanya.
Jelasnya, KEDA menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) mengadakan jualan berkenaan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah.
Hadir sama ialah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar; Pengarah FAMA Kedah, YBrs. Encik Shaiful Azhar bin Zolkipli dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, YBrs. Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Sementara itu, beliau berkata, kos keseluruhan bagi program berkenaan yang diadakan di Kulim pada semalam adalah sebanyak RM32,255.60.
“Maklum balas yang kita terima daripada orang ramai sangat baik kerana mereka berpeluang membeli barangan asas seperti beras, sayur-sayuran, buah-buahan, ikan segar, telur dan daging lembu tempatan dijual pada harga berpatutan.
“Jualan ini membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dengan jualan barangan keperluan rumah dengan potongan harga hampir 30 peratus,” ujarnya.
Menurutnya, terdapat juga jualan barangan kering keluaran Agromas dan lebih 20 produk usahawan KEDA dan FAMA.
“Kita juga mengadakan jualan ‘Combo Sale’ dan ‘Happy Hour’ bagi memeriahkan lagi program pada hari ini,” jelasnya.
——————————-
📸 Gambar-gambar aktiviti ini boleh didapati melalui pautan berikut;
——————————-
FESTIVAL KESENIAN ISLAM DAN KEBUDAYAAN SEMPENA RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DESA-DESA KEDA ZON 7 MERIAH

FESTIVAL KESENIAN ISLAM DAN KEBUDAYAAN SEMPENA RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DESA-DESA KEDA ZON 7 MERIAH

SUNGAI PETANI – Festival Kesenian Islam dan Kebudayaan sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Desa-Desa KEDA Zon 7, Kuala Muda/Yan telah dianjurkan dengan jayanya bagi memperkasa seni budaya Islam dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat, di samping meraikan bulan Syawal yang penuh keberkatan.
Program ini menjadi medan untuk menonjolkan bakat pelajar dalam bidang kesenian Islam seperti azan dan bercerita tentang tokoh-tokoh Islam, di samping menyemai nilai-nilai murni dan ukhuwah dalam kalangan penduduk.
Acara dimulakan dengan pertandingan azan yang disertai tujuh orang peserta lelaki. Pertandingan diadakan berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Zon.
Seterusnya, pertandingan bercerita pula menyusul, melibatkan tiga peserta lelaki dan lima peserta wanita daripada kalangan anak-anak Desa KEDA Kuala Muda/Yan.
Pertandingan ini diadili oleh juri profesional yang dilantik khas bagi memastikan ketelusan dan kualiti penilaian.
Program berlangsung dalam suasana penuh tertib dan harmoni, diserikan dengan kehadiran ibu bapa, penduduk setempat serta pegawai-pegawai KEDA Zon 7 Kuala Muda/Yan.
Para peserta tampil penuh bersemangat memperdengarkan suara dan persembahan masing-masing, manakala acara bercerita pula memberi inspirasi dengan jalan cerita yang menyentuh perasaan.
Lebih memeriahkan festival kali ini ialah kehadiran tetamu-tetamu kehormat, antaranya Pengerusi KEDA Properties and Management Sdn. Bhd, YBhg. Dato’ Shaiful Hazizy bin Zainol Abidin, Pengerusi Penasihat Program KEMAS Parlimen Sungai Petani, YBhg. Dato’ Shahanim binti Mohamad Yusoff, dan Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, YBrs. Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, bersama barisan pengurusan kanan dan pegawai-pegawai KEDA.
Secara keseluruhannya, Festival Kesenian Islam dan Kebudayaan sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Desa-Desa KEDA Zon 7 ini telah mencapai objektif penganjuran, sekaligus memperkasa seni Islam serta mempereratkan ukhuwah dalam kalangan pelajar dan komuniti.
Adalah diharapkan program seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan demi memperkukuh pembangunan sahsiah dan kebudayaan masyarakat.
——————————-
📸 Gambar-gambar aktiviti ini boleh didapati melalui pautan berikut;
——————————-
MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI SERTA FESTIVAL KESENIAN DAN KEBUDAYAAN ZON 1, LANGKAWI TAHUN 2025

MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI SERTA FESTIVAL KESENIAN DAN KEBUDAYAAN ZON 1, LANGKAWI TAHUN 2025

LANGKAWI – Seramai 500 orang tetamu yang telah hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri serta Festival Kesenian dan Kebudayaan 2025.
Majlis anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 1, Langkawi ini telah menerima kehadiran Ketua-ketua Jabatan/Agensi Daerah Langkawi, Pegawai-pegawai dari Kompleks Ibu Pejabat KEDA dan warga desa KEDA.
Turut hadir ke majlis ini adalah Pegawai Daerah Langkawi, YBhg. Tuan Mohamad Subhi Bin Abdullah bersama isterinya.
Para tetamu menikmati juadah yang disediakan seperti nasi hujan panas, kurma kambing, gulai kambing ketupat sotong, rendang ayam, ketupat, lemang, mee kari, keropok lekor, satey, apom balik, laksa, rojak dan aneka desert serta air minuman sejuk. Penyediaan makanan dibuat oleh penduduk desa KEDA serta usahawan usahawan yang mendapat bantuan KEDA.
Tetamu juga dihiburkan dgn nyanyian nasyid dan lagu-lagu raya oleh Kumpulan Gendang Dan Nada Warisan Langkawi dari Desa KEDA Wang Tok Rendong.
Terima kasih diucapkan kepada para usahawan KEDA dan Jawatankuasa 4P Desa KEDA Wang Tok Rendong dan Desa KEDA Teluk Berembang di atas kerjasama dalam menjayakan majlis ini.
KOMUNITI DESA KEDA ZON 2 DIRAI DALAM MAJLIS PENGANUGERAHAN DAN HARI BERTEMU PELANGGAN

KOMUNITI DESA KEDA ZON 2 DIRAI DALAM MAJLIS PENGANUGERAHAN DAN HARI BERTEMU PELANGGAN

PADANG TERAP – Komuniti Desa KEDA Zon 2 Padang Terap diraikan dalam Majlis Perasmian, Penganugerahan dan Hari Bertemu Pelanggan yang berlangsung di Pejabat Pembangunan KEDA Zon 2 baru-baru ini.
Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa, dengan kehadiran Penolong Pengarah Kolej KEDA, Encik Mohd Fikri bin Zulkifli, bersama warga kerja KEDA Zon 2 dan penduduk sekitar.
Program ini diadakan bertujuan untuk menghargai komitmen dan kerjasama komuniti di bawah seliaan Zon 2, selain mengukuhkan hubungan silaturahim antara pihak KEDA dan masyarakat setempat.
Antara penganugerahan dan aktiviti yang diadakan ialah anugerah Pertandingan Program 7 Likur, Anugerah Keceriaan (Rumahku Syurgaku) Peringkat Desa KEDA, Anugerah Keceriaan (Rumahku Syurgaku) Peringkat Daerah Padang Terap,
Anugerah Kreativiti Gubahan Booth Terbaik dan Sumbangan Peralatan Bantuan Belajar kepada pelajar terpilih.
Selain itu, program turut diserikan dengan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri yang memberi ruang untuk warga KEDA dan penduduk berbual mesra serta bermaaf-maafan dalam suasana hari raya.
Dalam masa yang sama, taklimat dan hebahan mengenai peluang pendidikan di Kolej KEDA turut diadakan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai program pengajian yang ditawarkan serta peluang kerjaya berkaitan.
Penganjuran program ini membuktikan keprihatinan KEDA terhadap pembangunan komuniti luar bandar, khususnya dalam aspek sosial, pendidikan dan pengiktirafan kepada usaha bersama membangunkan persekitaran desa yang lebih ceria dan harmoni.
KURSUS ASAS SEMBELIHAN PERINGKAT DESA-DESA KEDA ZON 9, DAERAH BANDAR BAHARU

KURSUS ASAS SEMBELIHAN PERINGKAT DESA-DESA KEDA ZON 9, DAERAH BANDAR BAHARU

BANDAR BAHARU – Kursus Asas Sembelihan anjuran Pejabat KEDA Zon 9, Daerah Bandar Baharu telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Desa KEDA Sungai Buluh, di sini.
Program tradisi ini melibatkan peserta seramai 30 orang. Kursus tersebut disampaikan Tuan Imam Masjid Kampung Sungai Tengas, Ustaz Shamsul Anuar Bin Mahmudin.
Kursus ini melibatkan 2 Sesi iaitu penerangan secara Teori dan Amali. Tujuan kursus ini diadakan adalah bagi menambah dan meningkatkan pengetahuan sedia ada peserta berkaitan aktiviti sembelihan mengikut syariat Islam.
Selain itu, turut diberikan input mengenai perkara-perkara yang perlu dielakkan ketika proses penyembelihan dilaksanakan.
Kursus ini diharap dapat mewujudkan budaya dakwah dan meningkatkan syiar Islam di kalangan masyarakat.
Turut hadir dalam majlis adalah Pegawai Pembangunan KEDA Zon 9, Bandar Baharu, Encik Mohd Noorhisham bin Taib.
MAJLIS TERAPRAYA 2025 DAN PELANCARAN PRODUK GULAI DAGING RIAS PISANG

MAJLIS TERAPRAYA 2025 DAN PELANCARAN PRODUK GULAI DAGING RIAS PISANG

PADANG TERAP – Satu keistimewaan dalam meraikan Aidilfitri. Inilah gambaran Majlis Terapraya 2025 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kubang Palas, di sini.
Majlis ini telah menjadi medan sinergi yang mempertemukan masyarakat setempat, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan koperasi dalam satu wadah perpaduan yang utuh.
Program ini bukan sekadar meraikan sambutan Aidilfitri dalam suasana harmoni, malah turut memperkenalkan inovasi kulinari tempatan melalui pelancaran produk eksklusif Gulai Daging Rias Pisang, yang menggabungkan keaslian rasa tradisi dengan citarasa kontemporari.
Penganjuran majlis ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Koperasi Ruminan Pertanian Kubang Palas Berhad dengan rakan-rakan sinergi berikut seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kubang Palas, Akademik Kenegaraan Malaysia Kedah, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Padang Terap dan Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap.
Objektif utama majlis ini adalah untuk memperkukuhkan jalinan silaturahim dan kerjasama antara pelbagai pihak melalui aktiviti Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan pameran keusahawanan.
Program ini juga menjadi platform untuk menyemai semangat patriotisme, perpaduan, dan cinta akan negara, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keharmonian, kemanusiaan, dan kesejahteraan bersama.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Encik Mohd Akmaluddin bin Mudaribeni, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Kedah, diikuti dengan ucaptama oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.
Kemuncak majlis diserikan dengan kehadiran dan perasmian oleh YBhg. Dato’ Seri Diraja Mahdzir bin Khalid, Pengerusi Yayasan Kemiskinan Darul Aman, yang menyampaikan amanat penuh inspirasi kepada para hadirin.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Utara Malaysia, serta Encik Shahurin bin Md Isa, Pegawai Pembangunan Zon 2 Padang Terap.
BAKAT TERPENDAM WARGA DESA KEDA KEMBALI DITONJOLKAN

BAKAT TERPENDAM WARGA DESA KEDA KEMBALI DITONJOLKAN

Kagum dengan bakat terpendam yang dimiliki oleh penduduk Desa-desa KEDA dalam Daerah Pendang dan Pokok Sena, merupakan kata-kata bermakna yang disampaikan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Hajah Afifah binti Haji Omar semasa berucap merasmikan Festival Kesenian dan Kebudayaan Peringkat KEDA Zon 3 Pendang/Pokok Sena.
Sebanyak sembilan pasukan yang mewakili kesemua sembilan Desa KEDA dalam Zon 3 tampil mengambil bahagian dan mempersembahkan pelbagai seni pentas khususnya nyanyian. Turut dipersembahkan adalah alunan marhaban yang diwakili oleh pasukan yang kesemua ahlinya adalah wanita.
Turut diadakan adalah pertandingan pakaian tercantik untuk kanak-kanak yang menyaksikan seramai 17 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan mengambil bahagian dengan memperagakan busana indah dan menarik dengan tema tradisional dan moden.
Festival ini diadakan untuk menyemarakkan aktiviti persembahan dan usaha mengekalkan keunikan seni dan budaya yang ada dalam masyarakat desa khususnya di Desa-desa KEDA.
Acara meriah yang menerima kehadiran sekitar 600 orang ini turut diserikan dengan sambutan Aidilfitri di mana Desa KEDA Bendang Perang, Pokok Sena menjadi tuan rumah untuk penganjuran acara bagi edisi kali ini.
SYAWAL DIRAI, EMOSI DISANTUNI: PROGRAM SERENTAK DI PEJABAT KEDA ZON 8

SYAWAL DIRAI, EMOSI DISANTUNI: PROGRAM SERENTAK DI PEJABAT KEDA ZON 8

JITRA – Bersempena sambutan bulan Syawal 1446H, Pejabat KEDA Zon 8 (Kota Setar/Kubang Pasu) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446H dan Kursus Pengurusan Tingkah Laku dan Emosi bertempat di perkarangan dan Dewan Seminar Pembangunan Usahawan Napoh.
Majlis Hari Raya yang berlangsung meriah itu telah berjaya menarik kehadiran lebih 700 orang pengunjung terdiri daripada penduduk desa KEDA Daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, komuniti sekitar Napoh, serta wakil-wakil agensi dan jabatan kerajaan Daerah Kubang Pasu.
Turut memeriahkan majlis ialah Ahli Lembaga Pengarah KEDA, YB Dato’ Aminuddin Omar dan YB Dato’ Wira Othman bin Aziz.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan silaturrahim antara kakitangan KEDA, penduduk desa dan agensi setempat, malah turut menzahirkan semangat perpaduan dalam suasana yang harmoni dan ceria.
Terdahulu, satu Kursus Pengurusan Tingkah Laku dan Emosi telah diadakan di lokasi yang sama melibatkan seramai 100 orang peserta.
Kursus ini dikendalikan oleh pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Ir. Dr. Haryati binti Jaafar, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keseimbangan psikologi dan pengurusan emosi dalam kehidupan harian.
Melalui kursus ini, para peserta didedahkan dengan kaedah dan pendekatan positif dalam menangani tekanan emosi, selain memupuk kefahaman terhadap kepentingan kesihatan mental dalam memperkasakan komuniti luar bandar.
Program yang menyatukan elemen keagamaan, sosial dan pembangunan kendiri ini jelas mencerminkan komitmen berterusan KEDA dalam memperkasa kesejahteraan penduduk luar bandar secara holistik.
DESA KEDA NAGALILIT DINOBATKAN JOHAN GERAI TERCANTIK AIDILFITRI

DESA KEDA NAGALILIT DINOBATKAN JOHAN GERAI TERCANTIK AIDILFITRI

KULIM – Desa KEDA Nagalilit telah dinobatkan sebagai johan bagi kategori Gerai Tercantik sempena Sambutan Aidilfitri Pejabat KEDA Zon 6, Kulim yang berlangsung hari ini.
Hadiah berupa wang tunai dan hamper telah disampaikan oleh Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa bersama Pegawai Pembangunan Zon 6, Encik Mohd Hakim bin Mohd Nadzir kepada para pemenang.
Tempat kedua dimenangi oleh Desa KEDA Bagan Sena, manakala Desa KEDA Dingin meraih tempat ketiga.
Desa KEDA Nagalilit memikat perhatian dengan hiasan bertemakan klasik, lengkap dengan juadah tradisional seperti ketupat dan rendang, serta pakaian tradisional berwarna merah gelap yang digayakan oleh penduduk kampung.
Semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan penduduk dalam menghias gerai masing-masing menjadi lambang kekuatan komuniti Desa KEDA dan menjadi kebanggaan kepada pihak KEDA.
Sambutan Aidilfitri Pejabat KEDA Zon 6 turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah istimewa seperti nasi kari daging dan kurma, mee kari, laksa, satay, kambing golek, cucur udang, aneka pencuci mulut serta pelbagai jenis minuman.
Semoga sambutan Aidilfitri ini menjadi kenangan manis buat seluruh warga KEDA dan penduduk kampung yang terlibat.
MAJLIS PERASMIAN PROJEK SEJATI MADANI (PROJEK ARANG BRIKET) DI IKS NAKA

MAJLIS PERASMIAN PROJEK SEJATI MADANI (PROJEK ARANG BRIKET) DI IKS NAKA

PADANG TERAP – Majlis Perasmian Projek Sejati Madani (Projek Arang Briket) telah berlangsung dengan jayanya pada petang ini bertempat di IKS Naka, Padang Terap, Kedah.
Program yang bermula jam 3.30 petang itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Romli bin Ishak.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Rakyat (SUARA) merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia, Dato’ Hadzir Md. Zain, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 2, Encik Shahurin bin Md Isa, Wakil JPKKP Kampung Pong Selatan, Encik Alyas bin Ahmad, serta Pengerusi Komuniti Madani Kampung Pong Manis, Encik Mohd Tahar bin Hussin.
Majlis turut disertai oleh ahli Jawatankuasa 4P Desa KEDA Pong Selatan dan penduduk setempat yang hadir bagi memberikan sokongan padu terhadap inisiatif yang membawa manfaat ekonomi dan kelestarian alam sekitar ini.
Projek Arang Briket ini merupakan salah satu usaha di bawah inisiatif Sejati Madani yang bertujuan memperkasakan komuniti luar bandar melalui projek ekonomi yang mampan. Projek ini menggunakan sisa buangan organik seperti tempurung kelapa dan kayu untuk menghasilkan arang briket yang mesra alam dan bernilai komersial tinggi.
Dato’ Romli menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama semua pihak dalam menjayakan projek ini, serta menyeru agar lebih banyak komuniti luar bandar tampil dengan inisiatif berimpak tinggi seperti ini sejajar dengan agenda Malaysia MADANI.
Projek ini dijangka memberi peluang pekerjaan kepada komuniti setempat di samping meningkatkan tahap kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar melalui penggunaan tenaga alternatif yang lestari.