JUALAN KASIH KEDA MADANI SEMAKIN DIKENALI RAMAI
KULIM – Program Jelajah Jualan Kasih KEDA MADANI yang dianjurkan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) semakin dikenali ramai dan menjadi program yang dinanti-nantikan penduduk di Kedah.
Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom berkata program jualan kasih KEDA MADANI semakin dikenali ramai selepas penganjuran di tujuh daerah sejak tahun lalu.
“Jualan Kasih KEDA Madani dirintis bermula Januari 2024 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Alor Setar, kemudian siri jelajah diteruskan di Pejabat Zon 4 Sik, Desa KEDA Singkir Badong, Yan dan Pejabat Bahagian Pembangunan Usahawan, Napoh, Jitra.
“Inisiatif tersebut diteruskan pada tahun ini di Pejabat Zon 5, Baling pada Februari lalu diikuti di Dewan Pusat Kegiatan Ekonomi, Kampung Guar Lobak di Padang Serai, di sini.
Menurutnya, KEDA telah memperuntukkan kira-kira RM225,789 untuk menganjurkan Program Jelajah Jualan Kasih KEDA Madani untuk tujuh lokasi termasuk daerah Padang Terap yang bakal diadakan sekitar Jun atau Julai depan.
“Kira-kira 4,000 hingga 5,000 orang akan datang ke setiap Jualan Kasih KEDA Madani yang dianjurkan, ada yang sanggup datang dari jauh dengan membawa ahli keluarga dan rakan bersama,” katanya.
Jelasnya, KEDA menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) mengadakan jualan berkenaan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah.
Hadir sama ialah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar; Pengarah FAMA Kedah, YBrs. Encik Shaiful Azhar bin Zolkipli dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, YBrs. Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Sementara itu, beliau berkata, kos keseluruhan bagi program berkenaan yang diadakan di Kulim pada semalam adalah sebanyak RM32,255.60.
“Maklum balas yang kita terima daripada orang ramai sangat baik kerana mereka berpeluang membeli barangan asas seperti beras, sayur-sayuran, buah-buahan, ikan segar, telur dan daging lembu tempatan dijual pada harga berpatutan.
“Jualan ini membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dengan jualan barangan keperluan rumah dengan potongan harga hampir 30 peratus,” ujarnya.
Menurutnya, terdapat juga jualan barangan kering keluaran Agromas dan lebih 20 produk usahawan KEDA dan FAMA.
“Kita juga mengadakan jualan ‘Combo Sale’ dan ‘Happy Hour’ bagi memeriahkan lagi program pada hari ini,” jelasnya.
——————————-

——————————-