KOLEJ KEDA TURUN PADANG SUMBANG BAKTI KEPADA ORANG KAMPUNG
SIK – Pelajar Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berasa tidak kekok untuk turun padang bersama-sama melaksanakan Program Jelajah Bakti Kolej KEDA yang diadakan di Desa KEDA Gulau, di sini. Ini kerana kebanyakan pelajar turut berasal dari kampung dan desa yang kini meneruskan pengajian dalam bidang TVET di Kolej KEDA, lantas membuatkan mereka berasa senang untuk menabur bakti kepada masyarakat kampung.
Program ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada pelajar Kolej KEDA, dalam beberapa bidang seperti pendawaian elektrik, pembaikan motosikal dan teknologi masakan, memperoleh pengalaman sebenar di lapangan. Malah program ini digunakan oleh pengurusan Kolej KEDA mempromosikan pengambilan pelajar ke dalam bidang TVET melalui 7 jenis kursus yang ditawarkan.
Program kali ini telah dirasmikan oleh Penasihat Program dan Aktiviti KEDA Parlimen Sik, YBhg. Datuk Muhamad Khizri bin Abu Kassim. Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa, Pegawai Pembangunan KEDA Zon 4, Sik, Encik Muhamad Fikhri bin Zulkifli dan Penolong Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Ramlan bin Jaafar.
Datuk Muhamad Khizri sebelum itu telah sudi melakukan ziarah kasih dengan berkunjung ke rumah penduduk yang kurang bernasib baik dan diuji dengan masalah kesihatan. Sumbangan yang dihulurkan diharap menjadi tanda prihatin KEDA kepada penduduknya dan mendekatkan penduduk dengan pemimpin masyarakat tempatan.
Pelajar Kolej KEDA menjalankan beberapa perkhidmatan seperti aktiviti penggantian minyak enjin motosikal, pembaikan asas pendawaian elektrik, mengecat dewan dan menanam pokok hiasan.
Penduduk yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada Kolej KEDA dan pelajarnya yang sudi bergotong-royong bersama penduduk. Semoga hubungan baik ini akan diteruskan di masa hadapan.