LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI KKDW KE LOT PREMIS KEDA DI KUBANG PASU
KUBANG PASU – Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang telah mengadakan lawatan kerja ke daerah Kubang Pasu bagi meninjau lot-lot premis perniagaan milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang terletak di Napoh.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian untuk menilai kemudahan serta potensi yang ditawarkan oleh premis-premis KEDA kepada usahawan luar bandar, khususnya dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan di negeri Kedah.
Setakat ini, KEDA menyediakan sebanyak 498 lot premis merangkumi ruang niaga dan bengkel Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang disewakan kepada para usahawan dengan kadar yang berpatutan.
Premis tersebut ialah Kedai/Gerai sebanyak 213 unit, bengkel IKS sebanyak 148 unit, Premis perniagaan komersil 2 unit dan IKS/Kedai seliaan Anak Syarikat 135 unit.
Bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KEDA mensasarkan pembukaan 30 unit premis perniagaan baharu yang akan ditawarkan kepada kumpulan sasar.
Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan peluang keusahawanan yang lebih tersusun, berdaya maju dan kompetitif kepada komuniti luar bandar.
Melalui infrastruktur yang disediakan ini, KEDA komited dalam memperkasa usahawan desa agar mampu bersaing di pasaran terbuka dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi wilayah secara keseluruhan.