KEDA BERI PENGIKTIRAFAN KEPADA USAHAWAN PRESTASI CEMERLANG

KEDA BERI PENGIKTIRAFAN KEPADA USAHAWAN PRESTASI CEMERLANG

ALOR SETAR — Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited dalam memperkasakan komuniti usahawan luar bandar apabila mengiktiraf kecemerlangan 15 usahawan bimbingannya melalui penganjuran Anugerah Usahawan KEDA 2025 di RAIA Hotel & Convention Centre, Alor Setar yang julung kali diadakan.
Majlis yang bertujuan menghargai sumbangan dan pencapaian para usahawan itu menyaksikan seramai 15 penerima anugerah daripada pelbagai kategori dipilih berdasarkan peningkatan prestasi perniagaan dan impak positif kepada komuniti setempat.
Anugerah tertinggi, Anugerah Khas: Usahawan Terbaik KEDA, turut diumumkan sebagai simbol pengiktirafan tertinggi kepada usahawan yang menunjukkan prestasi luar biasa.
Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Anugerah Usahawan Kecil (Belia & Beliawanis), Anugerah Usahawan Kecil (Progresif), Anugerah Usahawan Kecil (Mentee), Anugerah Alumni Kolej KEDA (Proaktif, Inovatif & Ikon), Anugerah Usahawantani & Aspirasi Usahawantani Muda, Anugerah Aspirasi Pelancongan Desa, Anugerah Ikon Komuniti, Anugerah Usahawan Inovatif & Usahawan Muda, Anugerah Usahawan Sepanjang Masa dan Anugerah Penyewa Premis IKS KEDA Madani.
Setiap pemenang membawa pulang trofi, sijil penghargaan, mock-up pemenang serta geran bantuan ekonomi berjumlah RM10,000, manakala penerima Anugerah Khas menerima geran bernilai RM15,000.
Secara keseluruhan, sebanyak RM155,000 diperuntukkan bagi geran kepada para pemenang dan majlis turut diserikan dengan cabutan bertuah khas usahawan KEDA yang menawarkan bantuan ekonomi bernilai RM60,000.
Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Wang dan turut dihadiri oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom serta Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Dalam ucapannya, pihak pengurusan KEDA menegaskan komitmen agensi dalam memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui pembangunan usahawan yang berdaya maju dan berdaya saing.
Sejak penubuhannya, KEDA telah menyalurkan lebih RM73.88 juta kepada pelbagai program bantuan dan sokongan usahawan desa.
Bagi tahun 2025, sebanyak RM4.33 juta lagi diperuntukkan oleh KEDA untuk meneruskan agenda pembangunan keusahawanan merangkumi latihan dan bimbingan, pelabelan serta promosi produk, bantuan peralatan perniagaan dan penyertaan dalam ekspo serta pameran.
Majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan, malah menjadi pemangkin semangat kepada usahawan desa untuk terus maju dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar.