MAJLIS HIMPUNAN USAHAWAN KEDA 2025 LAHIRKAN USAHAWAN LUAR BANDAR BERDAYA SAING
ALOR SETAR – Majlis Himpunan Usahawan KEDA Tahun 2025 yang berlangsung dengan meriah di RAIA Hotel & Convention Centre, Alor Setar berjaya menghimpunkan seramai 300 usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dari seluruh negeri Kedah dalam satu platform yang menyatukan pelbagai kluster perniagaan termasuk sektor berasaskan pertanian.
Program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan luar bandar, sekali gus melahirkan usahawan yang lebih berdaya saing, progresif serta mampu menyesuaikan diri dalam pasaran digital dan global masa kini.
Objektif utama penganjuran ini adalah untuk memperkenalkan teknik pemasaran terkini melalui platform digital dan media sosial, membina jaringan perniagaan yang efektif melalui kerjasama strategic, serta mewujudkan reputasi jenama yang kukuh dalam kalangan usahawan dengan memberi pengiktirafan kepada mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang hasil bimbingan dan bantuan KEDA.
Pelbagai pengisian menarik turut diadakan sepanjang program berlangsung, antaranya Sesi Pocket Talk yang menampilkan wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Kedah, Bahagian Pembangunan Halal JAKIM Malaysia, Bank Islam, CelcomDigi (Business) dan Maybank.
Sesi ini memberi peluang kepada para usahawan mendapatkan maklumat penting berkaitan pensijilan, keselamatan sosial, kewangan dan strategi pemasaran.
Turut menjadi tumpuan ialah Sesi Icon Talk oleh usahawan selebriti terkenal, Mila Jirin, yang juga merupakan Pengasas Bizmilla Wedding Centre. Perkongsian pengalaman beliau dalam dunia keusahawanan telah memberikan inspirasi dan motivasi kepada peserta untuk terus maju dalam perniagaan masing-masing.
Majlis turut menyaksikan penganjuran Anugerah Usahawan KEDA, satu bentuk pengiktirafan kepada usahawan-usahawan bimbingan KEDA yang menunjukkan prestasi cemerlang dan peningkatan ketara dalam perniagaan serta memberi sumbangan kepada pembangunan komuniti setempat.
Program ini bukan sahaja menjadi platform jaringan dan perkongsian ilmu, tetapi juga mencerminkan komitmen KEDA dalam memperkasakan usahawan luar bandar agar lebih kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran perniagaan masa hadapan.