KKDW PERUNTUK RM360 JUTA BAGI PEMERKASAAN KEUSAHAWANAN 2025
ALOR SETAR- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM360.36 juta bagi melaksanakan 77 program pembangunan usahawan di seluruh negara bagi tahun 2025, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 27,300 orang usahawan dan bakal usahawan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB.Datuk Hajah Rubiah binti Wang berkata program-program ini merangkumi pelbagai aspek penting dalam ekosistem keusahawanan KKDW seperti akses pasaran, pembiayaan, pembangunan modal insan, infrastruktur dan inovasi teknologi.
Beliau berkata, antara program utama yang dilaksanakan oleh kementerian termasuk Program Rural Business Challenge (RBC), Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED), Program Pendigitalan Usahawan Desa, serta pelbagai latihan keusahawanan dan pembangunan perniagaan.
Melalui agensinya, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) turut memperkukuh peranannya dalam memajukan sosioekonomi masyarakat luar bandar, khususnya menerusi pembangunan usahawan desa yang berdaya maju dan berdaya saing.
Sejak penubuhannya, KEDA telah membelanjakan sebanyak RM73.88 juta bagi pelaksanaan pelbagai program bantuan dan sokongan kepada usahawan desa.
“Untuk tahun 2025, KEDA memperuntukkan RM4.33 juta bagi meneruskan agenda pembangunan keusahawanan, meliputi Latihan dan Bimbingan, Pelabelan dan Promosi Produk, Bantuan Peralatan Perniagaan dan Penyertaan dalam Ekspo dan Pameran,”.
Beliau berkata pada Sidang Media Majlis Anugerah Usahawan KEDA 2025 yang berlangsung di Dewan Ballroom, RAIA Hotel & Convention Centre, Alor Setar, Kedah hari ini.
Majlis Himpunan Usahawan KEDA, satu program yang pertama kali dianjurkan dengan menghimpunkan 300 usahawan bimbingan KEDA dari pelbagai latar belakang perniagaan termasuk yang berasaskan pertanian.