PADI HUMA ANTARA TANAMAN BARU DALAM KAJIAN PROJEK PROSPEK PEDU

KUALA NERANG – Tanaman padi huma, iaitu salah satu varieti padi yang boleh ditanam tanpa memerlukan sumber air yang banyak berbanding padi sawah ini akan menjadi salah satu tanaman kajian untuk pengembangan projek PROSPEK Pedu akan datang.
Selain tanaman durian yang sudah menjadi niche produk di sini, tanaman padi ini dilihat boleh menjadi salah satu potensi baru dalam PROSPEK.
Tanaman di lokasi ini dapat menjadi sumber pendapatan pada penduduk melalui tanaman itu sendiri dan tarikan pengnjung melalui agrotourism.
Menurut Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, tanaman ini yang dijalankan secara tradisional boleh dikembangkan.
“KEDA boleh membantu pengusaha tanaman ini melalui inovasi peralatan yang boleh dijalankan pihak Kolej KEDA.
Jadi, tanaman ini boleh memberikan hasil yang lebih selain tarikan pengunjung dari sudut pelancongan melalui kaedah tradisional.
Ia merupakan kaedah yang menarik namun semakin dilupakan”, ujar beliau.
PROSPEK Pedu telah bermula pada tahun 2022 melibatkan 12 buah kampung di dalam Mukim Pedu yang mempunyai pelbagai aktiviti ekonomi sedia ada dan berpotensi untuk dibangunkan seperti pertanian, penternakan serta industri kecil dan sederhana (IKS).
Antara kampung-kampung yang terlibat iaitu Kampung Padang Setol. Kampung Kuala Tekai, Kampung Pauh, Kampung Baru Seladang, Kampung Musa, Desa KEDA Bukit Kura, Kampung Lubuk Merbau, Kampung Buluh, Kampung Banggol Pong, Kampung Pinang, Kampung Tong Pelu dan Kampung Kepala Batas.