200 ALUMNI HADIR KE MAJLIS TOWNHALL ALUMNI KOLEJ KEDA DAN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA INDUSTRI 2023
SUNGAI PETANI – Ibarat Sirih Pulang Ke Gagang. Inilah perumpamaan terbaik menggambarkan inisiatif Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam mengumpulkam alumni kolej ini dalam satu majlis.
Terbaharu, 200 orang alumni telah hadir ke sesi Townhall Alumni Kolej KEDA dan Kerjasama Strategik Bersama Industri 2023 yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff sebagai tetamu kehormat.
Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa dan barisan pengurus bahagian.
Para alumni yang merupakan graduan kolej ini yang telah melangkah ke dunia pekerjaan dapat membantu berkongsi input terbaik untuk pembangunan pendidikan TVET di kolej ini.
Dalam ucapan, beliau berharap agar sesi seperti ini dapat memberi peluang untuk penambahbaikan kolej. “Kita adalah satu keluarga, satu komuniti yang saling menyokong dan menginspirasikan terutama kepada bakal graduan Kolej KEDA. Semangat kekitaan yang terpancar daripada setiap wajah yang hadir hari ini melambangkan solidariti antara kita.
“Diharapkan agar ukhuwah yang terbina ini berterusan dan menjadi platform kepada alumni untuk terus mencipta peluang dalam melonjakkan kerjaya pada masa hadapan. Sesi ini dilihat menjadi medium paling ampuh dalam kita menterjemahkan fungsi alumni kepada pelajar kolej dan masyarakat menerusi konsep berilmu berbakti,”.
Kolej KEDA yang merupakan kolej latihan dibawah KEDA 7 bidang Kemahiran meliputi Teknologi Automotif, Teknologi Kimpalan, Teknologi Elektrik, Teknologi Motosikal, Teknologi Makanan, Teknologi Fabrik Lelaki dan Wanita serta Diploma Kemahiran Malaysia bagi Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.
Program ini telah ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia dan juga Persijilan Suruhanjaya Tenaga bagi bidang elektrik.