JUALAN KASIH KEDA BANTU KURANGKAN BEBAN RAKYAT

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memulakan gerak kerja operasinya dalam tahun baharu 2024 ini dengan melancarkan Hari Jualan Kasih KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA di sini, hari ini.
Majlis pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom.
Turut hadir dalam majlis ini iaitu Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar serta Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Program ini dianjurkan sebagai salah satu manifestasi komitmen dan keperihatinan KEDA dalam membantu rakyat yang terkesan akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu masa kini.
Selain itu, program ini juga menjadi platform kepada KEDA untuk menghebahkan pakej bantuan ekonomi yang disediakan melalui penyediaan reruai agensi.
Malah, usahawan KEDA juga diberi peluang untuk mengadakan jualan dan promosi produk masing-masing pada hari tersebut.
Sementara itu, menurut Dato’ Seri Jamil Khir, KEDA bercadang untuk mengadakan program ini secara bersiri bagi membolehkan manfaat program dinikmati oleh majoriti penduduk negeri ini.
“Dalam program ini, KEDA melalui usahawannya menawarkan beberapa barangan asas dengan harga murah melalui subsidi oleh KEDA sendiri dalam lingkungan 25%-53%.
Secara asasnya, program ini dapat membantu usahawan dan rakyat pada masa yang sama. Walaupun usaha ini mungkin dilihat kecil, namun diharap usaha ini dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
Kami juga bercadang untuk menjadikan Hari Jualan Kasih KEDA ini sebagai program bersiri dan dijalankan di daerah-daerah lain juga,” katanya.
Beliau berkesempatan untuk mengadakan sesi walkabout dan bersama-sama dalam Jualan Kasih KEDA disamping beramah mesra bersama usahawan KEDA yang mengadakan jualan di tapak program tersebut.
Antara barangan keperluan asas yang dijual murah dalam program ini iaitu beras, minyak masak, ayam dan telur ayam.