“HAYATI ASPIRASI DESA MADANI KKDW”, PENGERUSI KEDA

ALOR SETAR – Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyeru agar Aspirasi Desa Madani yang diilhamkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini dihayati dan dipraktikkan dalam gerak kerja operasi agensi ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.
Majlis yang dihadiri 250 orang kakitangan KEDA inj meliputi seluruh bahagian termasuk staf dari Pejabat KEDA Zon.
Dalam ucapan beliau, aspirasi Desa Madani ini perlu direalisasikan berdasarkan 4 teras mengikut akronim KKDW itu sendiri iaitu (K) Kemahiran dan Pengetahuan, (K) Keberkesanan dan Kecekapan, (D) Data dan Digital serta (W) Wow Factor.
“Sebagai sebuah agensi di bawah KKDW, saya yakin penghayatan akronim KKDW yang diilhamkan YAB Timbalan Perdana Menteri ini boleh diselaraskan bersama Pelan Strategik KEDA.
Warga kerja KEDA perlu mempersiapkan diri dengan segala kekuatan mental mahupun fizikal bagi mendepani tahun 2024 yang lebih mencabar ini”, ujar beliau
Pelan Strategik KEDA 2021-2025 menekan 5 fokus yang meliputi pembangunan infrastruktur dan kemudahan luar bandar yang lengkap dan berkualiti, membangunkan modal insan luar bandar yang cemerlang secara holistik, memantapkan pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar, memperkasa usahawan KEDA luar bandar serta memantapkan keupayaan kapasiti organisasi.