KEDA LANCAR PROJEK PENGURUSAN SISA PEPEJAL DI WILAYAH KEDA (SPIKE)

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meneruskan komitmen ke arah membina desa yang cantik, bersih, selesa dan sihat dengan melancarkan Projek Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) di Desa KEDA Seberang Paya Kerchut, Mukim Telaga Mas di sini.
Majlis Peluncuran SPIKE telah disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom.
Hadir sama, Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar
SPIKE adalah inisiatif KEDA dalam membangunkan satu projek berfokus kepada pengurusan sisa pepejal yang lebih tersusun di Desa KEDA.
“SPIKE diperkenalkan kepada 12 Desa KEDA. Projek ini memberi tumpuan kepada membangunkan sistem pengurusan sisa pepejal melalui pembinaan satu tempat pengumpulan sisa pepejal dan latihan serta pembudayaan berterusan.
Pada tahun 2023, KEDA telah membelanjakan RM 650,000 bagi pembinaan pusat pengumpulan sampah dan tong roro manakala RM 24, 000 adalah bagi tujuan pendedahan dan latihan kepada penduduk,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas merasmikan Majlis Peluncuran SPIKE di sini, hari ini.
Program tersebut turut dihadiri 500 penduduk Desa KEDA termasuk 108 mahasiswa Universiti Antarabangsa Al-Bukhari yang terdiri dari 50 negara.
Mereka hadir dalam menjayakan program bakti siswa di desa ini disamping mengambil input mengenai pengurusan sisa pepejal di wilayah KEDA ini.