KEDA MAHU PENDUDUK DESA KEDA CAKNA ILMU PENGURUSAN JENAZAH

BALING – Dengan hasrat memperbanyak penduduk desa Lembaga Kemajuan Wilayah (KEDA) yang arif dalam mengendali pengurusan jenazah mengikut syariat Islam yang betul, pengurusan KEDA melalui Pejabat KEDA Zon 5, Baling telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah di Desa KEDA Kemangi.
Program ini adalah bersempena aktiviti penghayatan tahun baharu Warga Madani Desa KEDA.
Kursus ini dimulakan dengan sesi ceramah dan diteruskan pula dengan sesi praktikal. Antara perkara berkaitan yang disentuh adalah kewajipan manusia kepada si mati meliputi memandikan, mengkafankan dan solat jenazah.
Ceramah ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Tuan Muhamad Subri bin Yahaya.
Dengan adanya kursus ini, ia dapat menambah pengetahuan kepada umat Islam mengenai kepentingan pengurusan jenazah yang merupakan tuntutan fardhu kifayah dalam agama.
Selain itu, mempelajari cara pengurusan jenazah merupakan antara inisiatif yang dapat mengingatkan kita kepada kematian terutama sekali bagi masyarakat Islam dan betapa signifikannya mempunyai pengetahuan yang mendalam berkaitan perkara ini agar setiap umat Islam mampu untuk membantu menguruskan jenazah terutama sekali jenazah ahli keluarga sendiri pada masa hadapan.