KEDA TEMPAT KETIGA KEJOHANAN BOLA TAMPAR TERTUTUP DOLKAU

JERLUN – Membanggakan. Itulah kata-kata penghargaan boleh diberikan kepada Pasukan Bola Tampar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Tampar Tertutup Dolkau.
Kejohanan anjuran Kelab Bola Tampar Dolkau ini menemukan 16 pasukan hebat sama ada dari agensi mahupun kelab dari seluruh negeri Kedah.
Antara agensi kerajaan terlibat adalah Universiti Utara Malaysia (UUM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah (BOMBA KEDAH) dan Pasukan Gerakan Am Kulim (PGA KULIM)
Antara kelab yang terlibat adalah Kelab Dolkau sendiri, Sin Min Private Volleyball Club (SMP VC), Kelab Bola Tampar Kelisa Ria, ACC Volleyball Club (ACC VC), SUKMA Player Kedah Volleyball Club (SPK VC), Kelab Bola Tampar Lubuk Merbau, Tualang Volleyball Club, Black Chang Volleyball Club, Panda Riot Volleyball Club, Rebel Volleyball Team, Cekgu Volleyball Club.
Kejohanan yang berlangsung selama 2 hari bermula 26 Januari 2024 ini dibahagikan kepada 4 kumpulan dan pasukan KEDA diletakkan dalam kumpulan A bersama Dolkau, SMP VC dan MADA.
Pasukan KEDA berjaya melangkah ke suku akhir setelah menjadi Naib Johan kumpulan dan turut berjaya ke separuh akhir setelah menewaskan Cekgu VC.
Kemaraan pasukan KEDA terhenti di peringkat separuh akhir apabila tumpas di tangan pasukan Black Chang VC.
Pasukan KEDA dan UUM telah berkongsi tempat ketiga manakala johan menjadi milik Black Chang VC yang menewaskan Dolkau di peringkat akhir dengan mata 26-24 dan 25-22.
Tahniah buat pasukan KEDA. Semoga terus sukses. Terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menerima kehadiran Pasukan Bola Tampar KEDA.