KEDA TIMBA PENGALAMAN PENGURUSAN PPRT DI NEGERI SABAH
KOTA KINABALU – Seramai 94 orang pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berpeluang menimba pengetahuan dan pengalaman baharu mengenai operasi dan cabaran dalam pengurusan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di negeri Sabah.
Sesi perkongsian ini dilaksanakan dalam majlis perasmian Program Lawatan Penanda Aras PPRT KEDA Ke Sabah yang telah dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Pegawai dan kakitangan KEDA berpeluang mengetahui pengurusan dan cabaran dalam pelaksanaan PPRT di negeri Sabah yang dilaksanakan oleh Pejabat KKDW Negeri Sabah, GiatMara Negeri Sabah dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).
Ketiga-tiga agensi berkenaan menyampaikan taklimat mengenai status semasa pelaksanaan PPRT, isu yang dihadapi dan cadangan penyelesaian.
Turut dikongsikan adalah gambar-gambar keadaan sebenar rumah asal penerima bantuan, keadaan laluan yang jauh ke pedalaman dan rumah baharu yang telah siap dibina.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Pengarah GiatMara Sabah, Encik Ts. Azizzudin A. Aziz, Pegawai Operasi SLDB, Encik Ab Rojhan bin Jalil dan Ketua Unit Teknikal Pejabat KKDW Negeri Sabah, Encik Alvin Michael Lo.
Encik Khairul Azmeer dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang hadir serta sudi berkongsi pengetahuan dalam majlis berkenaan.