KEISTIMEWAAN ISRAK DAN MIKRAJ DIKONGSI KEPADA PENDUDUK DESA KEDA BANGGOL PETAI, BALING

BALING – Sambutan Israk Mikraj adalah satu peristiwa penting bagi umat Islam. Peristiwa paling agung dalam sejarah Islam ini dianggap sebagai satu anugerah daripada ALLAH SWT.
Bagi memperingati peristiwa ini, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat Pembangunan Zon 5, Baling dengan kerjasama Jawatankuasa Pasukan Perancang, Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Banggol Petai telah mengadakan ceramah Israk dan Mikraj yang bertajuk Keistimewaan Perjalanan Israk dan Mikraj. Ceramah ini dikongsi kepada penduduk Desa KEDA dan setempat oleh penceramah jemputan, Ustazah Nur Afiqah binti Mahmud.
Antara yang dikongsi iaitu Israk Mikraj memperlihatkan bahawa kekuasaan ALLAH SWT mengatasi peraturan kebiasaan alam. Bayangkan, perjalanan yang biasanya memakan tempoh sebulan pergi dan sebulan pulang, hanya berlaku pada waktu separuh malam sahaja.
Israk Mikraj bukan sahaja membuktikan kuasa ALLAH SWT, tetapi turut menjadi bukti kepentingan Baitul Maqdis di Palestin.