KEDA BERSAMA PUSPANITA SELAMI KESEDIHAN KAKITANGAN DITIMPA MUSIBAH

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Bahagian Khidmat Pengurusan, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan Kelab Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan KEDA melahirkan rasa simpati di atas kejadian yang menimpa keluarga Cik Amirah binti Ahmad, 29, kakitangan KEDA yang ditimpa musibah kebakaran baru-baru ini.
Cik Amirah merupakan kakitangan KEDA yang kini berkhidmat di Pejabat KEDA Zon 9, Bandar Baharu tinggal bersama kedua ibu bapa dan seorang kakak serta seorang adik lelaki di rumah dekat Kampung Alor Ibus, Mukim Tebengau di sini.
Kejadian yang berlaku pada jam 12.30 tengahari pada 8 Februari menyebabkan bahagian hadapan rumah mereka rosak dan ayahnya mengalami kecederaan di bahagian badan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Cik Amirah yang mengalami kecederaan di bahagian lengan memberitahu bahawa kejadian berpunca dari tong minyak petrol yang biasa digunakan untuk ke laut.
Ziarah kasih yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dan Pengerusi PUSPANITA KEDA, Puan Hajah Afifah binti Haji Omar melahirkan rasa simpati ke atas kejadian yang menimpa dan berharap agar mangsa sekeluarga tabah dalam menghadapi dugaan yang menimpa.
Turut hadir, Ketua Unit Pentadbiran Am KEDA, Encik Mohd Khairul bin Ahmad.
Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan bantuan keperluan asas untuk meringankan beban keluarga.