47

DESA KEDA ULU LEGONG, BATU 8 DAN ULU BAKAI RASAI SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ

BALING – Sambutan Israk dan Mikraj di Desa KEDA Ulu Legong, Desa KEDA BATU 8, dan Desa KEDA Ulu Bakai meriah dengan semangat kerjasama yang baik daripada penduduk kampung dalam menjayakan program itu.
3 Desa KEDA itu berjaya meraikan sambutan Israk dan Mikraj dengan kerjasama Pejabat KEDA Zon 5, Baling melalui aktiviti gotong royong dan ceramah agama Israk dan Mikraj.
Pada sebelah siang penduduk kampung bekerjasama melakukan gotong-royong membersih kawasan kampung dan surau.
Aktiviti gotong-royong mampu mewujudkan persefahaman antara penduduk melalui semangat bantu membantu dan bekerjasama.
Sementara itu, program disambung pada sebelah malam dengan program ceramah agama sempena Sambutan Israk dan Mikraj 1445H di surau Desa KEDA tersebut.
Ceramah yang disampaikan berkaitan Peristiwa Israk dan Mikraj menarik perhatian penduduk kerana disampaikan oleh penceramah terkenal iaitu Pencetus Ummah (PU), Al Fadhil Ustaz Amir Shahrizal bin Md Sharif (PU Amir), Mudir Madrasah Misbahul Munir, Al Fadhil Ustaz Zahirul Basri bin Jaafar dan Imam Masjid Pekan Baling, Al Fadhil Ustaz Mohamad Nazhiff bin Zakaria.
Antara perkongsian Ibrah yang perlu difahami adalah berkaitan kepentingan solat dan perkara yang berlaku pada malam israk dan mikraj. Disampaikan secara langsung kepada Nabi SAW tanpa perantaraan. Solat adalah satu kemulian dan mendapat kedudukan yang tinggi manakala yang tidak menunaikan solat adalah satu kehinaan dan menerima azab pada hari akhirat.
Nabi SAW amat menjaga solat dan mengarahkan umatnya melakukan solat dalam apa jua keadaan sama ada semasa bermukim atau bermusafir, berada dalam keadaan aman atau dalam keadaan takut, semasa sihat atau sakit, semuanya hendaklah lakukan solat.