KEDA KOMITED PERKASA KOMUNITI BEBAS DADAH

KEDA KOMITED PERKASA KOMUNITI BEBAS DADAH

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) komited terus memperkasakan komuniti Desa KEDA dalam wilayahnya agar bebas dadah dan ke arah melahirkan Pembangunan Desa Lestari.
Usaha ini dilakukan melalui Program Kluster Komuniti iaitu Community Empowerment (CE) Pejabat KEDA Zon 4, Sik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sik dan Unit Narkotik Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Daerah Sik.
Program yang diadakan di KEDA Resort Bendang Man, Sik itu bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin masyarakat terutamanya kepimpinan Ahli Jawatankuasa 4P Desa KEDA Daerah Sik berkaitan penyalahgunaan dadah, substans dan pelencongan sosial serta cara menangani masalah tersebut dengan lebih efektif.
Selain itu, melalui program ini semangat kerjasama di antara pemimpin komuniti dengan agensi dapat dipupuk justeru menggalakkan percambahan idea di kalangan peserta untuk perancangan program-program bagi menangani masalah ini.
Turut menjayakan program iaitu Pegawai Pembangunan Zon 4, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan, Ketua Pegawai AADK Daerah Sik, Puan Maznah binti Maszar dan Ketua Bahagian Narkotik IPD Sik, Inspektor Mohd Nazri bin Mohd Nasir.
Antara pengisian program ini ialah ceramah berkaitan senario dadah dan peranan komuniti, serta sesi soal jawab bersama agensi.