LAWATAN PUSPANITA KEDA KE KEJORA
KOTA TINGGI – Seramai 40 orang ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA).
Delegasi PUSPANITA KEDA telah diketuai oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil KEDA yang juga merupakan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar hadir ke KEJORA bagi mendapatkan pendedahan mengenai gerak kerja operasi KEJORA yang juga merupakan salah satu agensi Lembaga Kemajuan Wilayah dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Selain itu, lawatan ini adalah sebagai wadah mengeratkan silaturrahim selain berkongsi pandangan mengenai pembangunan PUSPANITA masing-masing di masa akan datang.
Kehadiran delegasi PUSPANITA KEDA telah disambut mesra oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil KEJORA, Puan Marlina binti Amir yang juga Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA.
Seusai tiba, rombongan dibawa melawat Ibu Pejabat KEJORA dan mendengar taklimat fungsi KEJORA dari wakil agensi tersebut. Seterusnya, rombongan dibawa berkunjung ke Industri Kecil Sederhana (IKS) Bandar Mas dan Rumah Rakit Kampung Johor Lama.
Terima kasih kepada pihak KEJORA yang sudi menerima kunjungan dari PUSPANITA KEDA. Semoga ukhuwah yang terjalin kekal erat sehingga ke akhirnya.