KEDA TUMPU PEMBANGUNAN MINDA KREATIF ANAK-ANAK LUAR BANDAR

KEDA TUMPU PEMBANGUNAN MINDA KREATIF ANAK-ANAK LUAR BANDAR

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) komited akan memberi tumpuan kepada pembangunan minda kreatif kepada anak-anak luar bandar di negeri ini.
Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff berkata, usaha itu dilakukan melalui Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) KEDA melalui Program Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Melalui Rubik’s Cube Kepada Anak-Anak Luar Bandar di Negeri Kedah.
“Ini adalah usaha pihak KEDA untuk meningkatkan keupayaan kemahiran dan pembangunan kreatif minda anak-anak luar bandar dalam menyelesaikan masalah.
“Pendidikan STEM melalui Rubik’s Cube melatih minda anak-anak untuk berfikiran kreatif dalam menyelesaikan masalah melalui permainan kiub rubik mengikut tempoh yang ditetapkan,”.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik melalui Rubik’s Cube Kepada Anak-Anak Luar Bandar di Negeri Kedah di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini hari ini.
Melalui program ini, seramai 40 anak-anak luar bandar menyertai aktiviti kerana permainan Rubik’s boleh dijadikan hobi baru kepada mereka.
Program ini menarik minat peserta kerana menampilkan Pemain Rubik’s Cube terkemuka dalam Malaysia, Haris Azizan.
Pada program ini peserta diberi pendedahan asal-usul Rubik’s Cube dan teknik-teknik menyelesaikan masalah, tayangan montaj Rubik’s Cube dan pertandingan.
Program ini merupakan program siri ke 2 selepas berjaya diadakan di Desa KEDA Kampung Berjaya, Jeniang sebelumnya.