40 PEGAWAI DAN KAKITANGAN KEDA DILANTIK BARISAN HADAPAN KESIHATAN KEDA
SUNGAI PETANI – Seramai 40 pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah dilantik sebagai barisan hadapan kesihatan KEDA dengan tanggungjawab sebagai pegawai keselamatan aras, wakil majikan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerja (JKKP) serta wakil pekerja JKKP serta ketua unit paramedik aras.
Pelantikan ini merupakan langkah penting dalam usaha meningkatkan kesediaan ketika menghadapi kecemasan.
Semua pegawai dan kakitangan yang dilantik selesai mengikuti Kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kakitangan KEDA iaitu Basic Life Support (BLS) & Automated External Defibrillator (AED) di Sungai Petani hari ini.
Program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Puan Hajah Afifah binti Omar.
Hadir sama Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Tujuan utama kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan asas tentang langkah-langkah yang perlu diambil apabila berlaku kejadian kecemasan di tempat kerja atau di kawasan komuniti.
Pada Perasmian itu, Puan Hajah Afifah menzahirkan penghargaan dan ucapan kasih kepada Pihak Jabatan Kesihatan Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani atas perkongsian maklumat dan praktikal yang diajar untuk menyelamat ketika berlaku kecemasan.
Beliau juga menekankan pentingnya bagi semua kakitangan untuk memahami peranan masing-masing dan langkah-langkah CPR yang perlu diikuti bila berlaku kecemasan sama ada di tempat kerja atau komuniti setempat.
Pada kursus itu, peserta boleh diajar secara praktikal cara-cara yang betul melakukan CPR dan menggunakan alat Automated External Defibrillator (AED).
Peserta memberi maklum balas yang baik sepanjang kursus ini dan masing-masing mengakui memahami taklimat yang disampaikan dan ilmu yang diperolehi sangat bermanfaat untuk kehidupan seharian.