KEDA UTAMAKAN LATIHAN LANGSUNG TENAGA PAKAR KEPADA KAKITANGAN UNTUK KEDA MAP
Alor Setar – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan lebih memberi keutamaan kepada usaha memberi latihan secara langsung oleh tenaga pengajar berkepakaran dalam bidang berkaitan kepada kakitangannya.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, semasa merasmikan Sesi Latihan Kemasukan Data Secara Kelompok Bagi KEDA MAP.
Sesi latihan kali ini dikendalikan secara langsung oleh pegawai dari Pusat Geospatial Negara (PGN) yang diketuai oleh Puan Azira binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan, PGN bersama tiga orang lagi pegawai.
Latihan bertujuan memberi pendedahan secara langsung termasuk mengadakan sesi praktikal kepada kakitangan KEDA yang berkenaan, untuk memasukkan dan mengemas kini data dalam sistem KEDA MAP.
Sistem KEDA MAP adalah suatu sistem ekslusif yang dibangunkan secara dalaman oleh Unit Teknologi Maklumat bersama Bahagian Hartanah dan Prasarana dengan kerjasama Pusat Geospatial Negara sejak tahun 2009.
Hasil kerjasama baik ini membolehkan KEDA menggunakan portal pengkalan MYGOS secara percuma mulai tahun 2017, setelah perbincangan dan kebenaran diperoleh daripada PGN dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Sistem KEDA MAP menyediakan platform kepada KEDA melalui kakitangannya untuk memasukkan data geospatial berkaitan penduduk Desa-desa KEDA, projek infrastruktur dan bantuan-bantuan ekonomi yang disalurkan.
Pengurus Besar berharap pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam membangunkan dan menggunakan sistem KEDA MAP ini akan terus memaksimumkan potensi sistem sebaik mungkin dan segala data geospatial yang ada dapat digunakan dengan tepat.
Sesi latihan kali ini turut disertai oleh Encik Rojani bin Romeli, Pengurus Hartanah dan Prasarana bersama 31 orang peserta yang mewakili bahagian-bahagian dan Pejabat-pejabat KEDA Zon.