PROGRAM TAKLIMAT INTEGRITI SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) KEPADA PEGAWAI PELAKSANA PPRT KEDA
BANDAR BAHARU – Seramai 60 Pegawai Pelaksana Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) KEDA telah menyertai Program Taklimat Integriti yang dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Serdang Lake View Resort, di sini baru-baru ini.
Program ini bertujuan memastikan KEDA sentiasa berada dalam landasan yang benar dengan memberi tumpuan kepada hal ehwal integriti dalam pengurusan PPRT.
Pegawai dari SPRM iaitu Mohd Azfar bin Johari telah dijemput untuk memberikan taklimat dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka berhubung isu-isu integriti dan pencegahan rasuah.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa pihaknya sangat berharap agar tiada berita buruk berkaitan rasuah atau penyelewengan berlaku dalam agensi.
“KEDA komited untuk memastikan setiap pegawai pelaksana memahami dan mengamalkan nilai-nilai integriti dalam tugas harian mereka. Program ini adalah salah satu usaha pengurusan KEDA untuk memantapkan lagi pemahaman dan kesedaran mengenai integriti dengan konsep prevention is better than cure”, katanya.
Objektif utama taklimat ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pegawai pelaksana tentang kepentingan integriti dalam menjalankan tugas mereka, serta mengukuhkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan PPRT.
Antara topik yang dibincangkan termasuklah definisi dan bentuk-bentuk rasuah, kesan buruk rasuah terhadap masyarakat, serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil oleh pegawai pelaksana.
Melalui taklimat ini, KEDA berharap agar semua pegawai pelaksana dapat menerapkan nilai-nilai integriti dalam setiap aspek kerja mereka, sekaligus memastikan bantuan yang disalurkan melalui program PPRT benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan tanpa sebarang penyelewengan.