SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1446H DI DESA-DESA KEDA DAERAH SIK

SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1446H DI DESA-DESA KEDA DAERAH SIK

SIK – Sambutan Maal Hijrah 1446H di semua Desa-Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam Daerah Sik telah selesai dengan jayanya, melibatkan pelbagai aktiviti yang berjaya mengeratkan silaturrahim antara penduduk kampung dan memperkukuh semangat keagamaan.
Sambutan yang berlangsung dari 10 Julai hingga 26 Julai ini menyaksikan pelbagai program dianjurkan bagi memperingati peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W, antaranya, Program Kacau Bubur Asyura yang menjadi tumpuan utama penduduk kampung.
Program ini bukan sahaja menghidupkan tradisi lama tetapi juga berjaya merapatkan hubungan antara penduduk melalui aktiviti gotong-royong.
Pada sebelah malam, Pengurusan Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) telah menyusun ceramah agama yang berfokus kepada menghayati peristiwa bersejarah pengorbanan Rasulullah S.A.W. Penceramah jemputan menyampaikan pengajaran dari peristiwa hijrah baginda dan para sahabat, serta mengajak penduduk kampung untuk mengambil ibrah dari peristiwa tersebut dalam kehidupan seharian.
Sambutan ini turut mendapat sokongan penuh dari pihak KEDA Zon 4, Sik yang berharap agar aktiviti sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Dengan penyertaan yang tinggi dari penduduk setempat, sambutan Maal Hijrah 1446H ini diharapkan dapat menyemai semangat perpaduan dan keagamaan yang lebih mendalam di kalangan masyarakat kampung.