BICARA EKSEKUTIF MERIAHKAN HARI INTERAKTIF AKRAB KEDA TAHUN 2024
ALOR SETAR – Harmoni dan ilmiah. Inilah gambaran kepada Bicara Eksekutif “Kerjaya dan Keluarga” yang dianjurkan oleh Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Bicara ini dianjurkan oleh AKRAB KEDA bersempena Hari Interaktif AKRAB KEDA Tahun 2024. Seramai 60 orang hadir ke program ini yang diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, disini.
Mereka terdiri daripada ahli AKRAB KEDA yang diketuai oleh Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian yang juga Pengerusi AKRAB KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan, Penyelaras AKRAB KEDA, Encik Muhammad Nasir bin Abdullah dan staf KEDA yang lain.
Lebih meriah, program ini turut dihadiri oleh 20 orang delegasi AKRAB dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi dibawahnya seperti RISDA, MARA, KEMAS, FELCRA, JAKOA dan KEJORA.
Delegasi ini hadir dalam rangka lawatan bersempena Kembara AKRAB ke PERDA dan KEDA yang berlangsung selama 3 hari 2 malam.
Sesi bicara eksekutif ini telah dipengerusikan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman. Selaku moderator, beliau juga adalah merupakan ahli AKRAB KEDA.
2 panelis telah dijemput untuk bual bicara ini iaitu Ketua Pegawai Psikologi KKDW, Puan Zulaiha binti Aman dan Pegawai Psikologi KKDW yang juga Penyelaras AKRAB KKDW, Puan Norazizah binti Azizan.
Sesi yang berlangsung selama satu jam 30 minit ini diisi dengan sesi perkongsian input dan pengalaman melibatkan kerjaya, keluarga dan fungsi AKRAB itu sendiri.
Akhirnya, sesi cabutan bertuah diadakan kepada hadirin yang terlibat dalam bual bicara ini. Semoga semua mendapat manfaat dan membawa pulang ilmu berguna sempena majlis ilmu seperti ini.