KEDA SERTAI HIMPUNAN PEMBEBASAN PALESTIN
Kuala Lumpur – Seramai 46 orang pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyertai Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil. Mereka yang mewakili seluruh warga kerja KEDA menyertai lebih dua puluh ribu orang yang membanjiri stadium sebagai simbolik rakyat Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, yang menyokong penuh usaha membebaskan Palestin daripada terus dijajah oleh rejim Zionis Israel.
Acara yang bermula sejak jam 6.00 petang, dihadiri pelbagai lapisan masyarakat terutama warga kota, dipenuhi dengan pelbagai acara bertemakan pembebasan Palestin seperti pidato keamanan, persembahan dan bacaan doa serta qunut nazilah.
Kemuncak acara adalah ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, yang menyatakan dengan tegas pendirian Malaysia adalah sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin, mahukan rejim Israel menghentikan penindasan serta menyokong penuh segala usaha untuk membebaskan malah memerdekakan negara Palestin.
Beliau juga menyeru agar seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan kepada usaha kerajaan membawa suara rakyat Palestin di pentas antarabangsa dan setiap rakyat mesti mempunyai rasa sayangkan tanah air serta cintakan keamanan sejagat. Ianya selaras dengan teras MADANI antaranya Kesejahteraan, Hormat dan Ihsan.
Acara turut dimeriahkan dengan ucapan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi bersama menteri-menteri utama dalam kabinet kerajaan.
Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah dan sentiasa peka dengan keadaan yang menimpa Palestin serta berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang ditindas. Antara usaha yang diambil adalah mengadakan Himpunan Solidariti Kemanusiaan KEDA Bersama Palestin dan kutipan tabung derma.
Seluruh warga kerja KEDA berdoa agar Palestin akan kembali bebas daripada segala kekejaman dan penindasan serta kehidupan rakyat Palestin kembali aman dan sejahtera.