KEDA SANTUNI PENYEWA, BINCANG ISU TUNGGAKAN SEWA
PADANG TERAP – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Unit Kutipan Hasil telah mengambil langkah proaktif dalam menangani isu tunggakan bayaran sewa dengan mengadakan sesi turun padang bagi menyantuni penyewa di kawasan berkenaan.
Unit Kutipan Hasil yang diketuai oleh Ketua Unit, Encik Dzulkarnain bin Abdul Manaf telah mengadakan pertemuan dengan penduduk Desa KEDA Bagan dan Desa KEDA Pong Selatan yang berada di bawah pengawasan Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap.
Sesi ini turut menerima kehadiran Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan.
Inisiatif ini bertujuan untuk berbincang mengenai isu tunggakan bayaran sewaan rumah dan mencari jalan penyelesaian agar pembayaran sewa dapat dijalankan dengan lebih lancar pada masa hadapan.
Pertemuan ini dimulakan di Desa KEDA Bagan dan diteruskan pada keesokan harinya di Desa KEDA Pong Selatan.
Dalam sesi perbincangan tersebut, pihak KEDA telah memberikan penerangan yang jelas berkaitan tunggakan bayaran sewa, implikasi daripada keingkaran membayar, serta proses pindah hak milik geran. Penerangan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman penyewa mengenai tanggungjawab mereka.
Maklum balas yang diterima daripada penduduk selepas penerangan menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat mengenai pentingnya pembayaran sewa tepat pada masanya. Mereka juga memberikan respon positif terhadap usaha KEDA dalam membantu menyelesaikan isu ini.
Turut hadir dalam sesi tersebut adalah pegawai-pegawai dari Unit Rumah Bahagian Hartanah dan Prasarana (BHP) KEDA, yang turut sama membantu menjelaskan isu-isu berkaitan.
KEDA berharap agar dengan pendekatan ini, semua penyewa dapat membayar sewa dengan lancar dan mengelakkan sebarang tunggakan pada masa hadapan.