KURSUS PEMANTAPAN PENGURUSAN CUTI KEDA TAHUN 2024
ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM) menunjukkan komitmen dalam memperkukuhkan pengurusan cuti kakitangan dengan menganjurkan Kursus Pemantapan Perintah Am Bab C (Pengurusan Cuti) baru-baru ini.
Kursus ini dianjurkan dengan kerjasama Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah Darul Aman (INSPIN) dan dihadiri seramai 30 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai yang bertanggungjawab menguruskan cuti di bahagian, unit, dan pejabat KEDA Zon masing-masing.
Kursus ini disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Mohamad Ribwan bin Abas. Kursus yang berlangsung di Dewan KCS, INSPIN ini merangkumi lima slot utama, yang masing-masing menekankan aspek-aspek penting dalam pengurusan cuti.
Slot pertama memberi fokus kepada kelas pegawai dan kuasa meluluskan cuti, diikuti dengan slot kedua yang membincangkan cuti yang diberikan kerana perkhidmatan.
Slot ketiga pula menumpukan kepada cuti atas sebab perubatan, manakala slot keempat membincangkan cuti tidak berekod. Kursus ini diakhiri dengan slot terakhir yang menyentuh mengenai cuti-cuti lain.
Menariknya, kursus ini turut menyaksikan penglibatan aktif para peserta melalui sesi soal jawab yang membolehkan mereka mendapatkan penjelasan lanjut dan berkongsi pengalaman dalam menguruskan cuti.
KEDA berharap kursus ini dapat memberikan panduan yang berguna kepada pegawai-pegawai yang menguruskan cuti di tempat masing-masing, sekali gus meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan cuti di organisasi tersebut.