BELIA DESA KEDA SUNGAI SEMIAR TIMBA PENGALAMAN KURSUS PEMBUATAN KHEMAH
SIK – Seramai 35 belia dari Desa KEDA Sungai Semiar, Sik telah berpeluang menimba pengalaman berharga melalui Kursus Pembuatan Khemah yang dianjurkan oleh Jabatan Teknologi Kimpalan, Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Sik, baru-baru ini.
Program ini merupakan sebahagian daripada kursus jangka pendek yang disasarkan kepada komuniti B40, dengan objektif untuk meningkatkan kemahiran, kecekapan, serta pendapatan golongan tersebut.
Melalui kursus ini, para peserta diberi pendedahan terhadap ilmu pengetahuan dan teknologi yang relevan dalam pelbagai kegiatan ekonomi.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta menunjukkan minat yang mendalam dan komitmen yang tinggi dalam mempelajari ilmu pembuatan khemah.
Mereka berusaha untuk memahami setiap aspek yang diajar dengan bertanya kepada tenaga pengajar tentang perkara-perkara yang kurang difahami semasa sesi praktikal.
Pihak KEDA berharap agar ilmu yang diperoleh oleh para peserta dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan pendapatan peribadi dan kesejahteraan komuniti Desa KEDA Sungai Semiar.