KEDA TERIMA 211 KEPING GERAN TANAH DESA KEDA
PADANG TERAP– Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) baru-baru ini menerima sebanyak 211 keping geran tanah bagi Desa KEDA Bukit Kura dan Desa KEDA Pasir Putih.
Penyerahan tersebut berlangsung dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Dewan Komuniti Felcra Tualak, Padang Terap.
Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar hadir bagi mewakili Pengurus Besar KEDA, Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, untuk menerima geran-geran tersebut yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor.
Majlis penyerahan ini merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuhkan hak milik tanah kepada penduduk-penduduk di Desa KEDA, sekali gus memacu pembangunan komuniti setempat.
Turut hadir dalam majlis itu ialah pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin tempatan, serta wakil-wakil komuniti.
Para penerima geran tanah menyambut baik inisiatif ini, yang dianggap sebagai satu langkah yang tepat bagi mengukuhkan kehidupan mereka di kawasan berkenaan.