PEJABAT KEDA ZON 5, BALING ANJUR SAMBUTAN MAULIDURASUL DI 4 DESA KEDA
BALING – Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menganjurkan Sambutan Maulidurasul di empat Desa KEDA di bawah Zon 5 sebagai usaha memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 16 September 2024 bersamaan 12 Rabiulawal 1446H.
Desa yang terlibat adalah Desa KEDA Kemangi, Desa KEDA Teluk Teduri, Desa KEDA Keledang, dan Desa KEDA Sadek.
Program Sambutan Maulidurasul di Desa KEDA Kemangi dimulakan dengan Tazkirah Maulidurasul oleh Imam Masjid Kuala Kuang, Kupang, Ustaz Abdul Ghani bin Yaakub. Beliau berkongsi sejarah kelahiran Rasulullah S.A.W serta perjuangan Baginda dalam menyebarkan agama Islam. Penduduk turut mengadakan perarakan dan bacaan zikir di sekitar desa.
Di Desa KEDA Teluk Teduri, program yang melibatkan penduduk dewasa, belia, dan kanak-kanak meriah dengan perarakan dan persembahan Selawat Qasidah oleh kumpulan muslimin dan muslimat. Rakaman Tazkirah Maulidurasul yang membincangkan cabaran kehidupan Rasulullah S.A.W turut ditayangkan kepada hadirin.
Seterusnya, di Desa KEDA Keledang, majlis diserikan dengan Ceramah Agama oleh Imam Masjid Ketembar Kememeh, Kupang, Ustaz Abdul Halim bin Man, yang mengetengahkan kisah-kisah perjuangan Rasulullah S.A.W.
Program Sambutan Maulidurasul di Desa KEDA Sadek dimulakan dengan perarakan, diikuti Tazkirah Maulidurasul oleh Imam Masjid Daerah Baling, Ustaz Mohamad Somad bin Mat Dom. Program disempurnakan dengan ucapan daripada Pengerusi Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Sadek dan Wakil Pegawai Yayasan Taqwa, yang menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 91 penerima asnaf.
Sambutan ini berjaya mempereratkan silaturahim antara penduduk Desa KEDA dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam di kawasan tersebut.