DESA KEDA GULAU DAN KOTA AUR LENGKAPKAN SAMBUTAN BULAN PATRIOTISME
SIK – Sambutan Bulan Patriotisme Desa KEDA Zon 4 melabuhkan tirai dengan meriah apabila Desa KEDA Gulau dan Desa KEDA Kota Aur berjaya melengkapkan penganjuran Sambutan Hari Malaysia pada hujung minggu lalu.
Ini merupakan penutup kepada rangkaian aktiviti sempena bulan kemerdekaan yang telah dilaksanakan di empat Desa KEDA lain sebelum ini.
Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang sepanjang sambutan, dengan penglibatan daripada pelbagai agensi luar serta kerjasama erat daripada kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP). Antaranya adalah pertandingan sukaneka, persembahan kebudayaan, dan ceramah patriotik yang berjaya menyemarakkan lagi semangat cinta tanah air dalam kalangan penduduk setempat.
Majlis sambutan turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi KEDA Resort and Holiday Sdn Bhd, Datuk Muhamad Khizri bin Abu Kasim, yang meluangkan masa bersama komuniti setempat.
Kehadiran beliau menambahkan lagi semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan peserta.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Pembangunan Zon 4, Sik, Encik Mohd Noor Farzli bin Adenan, yang mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat atas kejayaan penganjuran program ini. Beliau berharap sambutan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuhkan semangat kebangsaan dalam kalangan generasi muda khususnya.
Dengan kejayaan ini, Sambutan Bulan Patriotisme Desa KEDA Zon 4 dapat dilihat sebagai satu platform penting dalam mempererat hubungan komuniti sambil menyemarakkan semangat kemerdekaan negara.








