RERUAI PAMERAN KEDA MENARIK PERHATIAN PENGUNJUNG DI HARI SUKAN NEGARA 2024 PERINGKAT NEGERI KEDAH

RERUAI PAMERAN KEDA MENARIK PERHATIAN PENGUNJUNG DI HARI SUKAN NEGARA 2024 PERINGKAT NEGERI KEDAH

SINTOK – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mencuri tumpuan dengan penyertaan melalui reruai pamerannya sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok semalam.
Reruai KEDA mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang terdiri daripada pelajar, penduduk setempat, dan usahawan. Mereka hadir bagi mendapatkan maklumat mengenai kursus bimbingan serta bantuan yang disediakan untuk memajukan usahawan di Kedah.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat pameran produk-produk usahawan bimbingan KEDA serta mengetahui lebih lanjut tentang Kolej KEDA dan peluang kursus yang ditawarkan.
Majlis perasmian HSN 2024 telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menekankan kepentingan inisiatif seperti Hari Sukan Negara dalam menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.
Sambutan kali ini meriah dengan kehadiran kira-kira 11,000 peserta dari pelbagai latar belakang.
Antara aktiviti sukan yang menarik perhatian adalah acara Fun Run, pertandingan larian, dan kayuhan basikal, selain 30 acara lain yang disusun bagi menceriakan sambutan.
Program kebangsaan ini diadakan setiap tahun pada Sabtu minggu kedua Oktober sebagai platform untuk memupuk budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beberapa acara utama sepanjang HSN 2024 termasuk HSN x FM Fun Ride sejauh 30km, Larian Untuk Negara x FM Fun Run sejauh 5km, dan Berjalan Ria Madani x FM Fun Walk sejauh 3km.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah EXCO Kerajaan Negeri Kedah, Mohammad Radhi Md Din mewakili Menteri Besar Kedah, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali, Ketua Polis Kedah, Dato’ Fisol Salleh, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Zaiton Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah, dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani yang mewakili Naib Canselor UUM.