HARI SUKAN NEGARA KEDA 2024 TAMPILKAN KELAINAN

HARI SUKAN NEGARA KEDA 2024 TAMPILKAN KELAINAN

ALOR SETAR – Bagi menampilkan kelainan untuk Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi tahun 2024 ini, pihak urusetia mengolah peraturan serta memperkenal pertandingan baru.
Antara kelainan yang ditampilkan urusetia kepada 250 kakitangan KEDA yang hadir adalah seperti acara bola tampar campuran yang hanya membenarkan satu pukulan sahaja bagi setiap pasukan.
Bagi acara congkak pula yang kebiasaannya dimainkan kaum hawa, kali ini pertandingan ini terbuka kepada staf lelaki pula.
Begitu juga dengan acara dart yang biasanya didominasi staf lelaki, namun kali ini hanya terbuka kepada staf perempuan.
Antara kelainan adalah pengenalan kepada pertandingan gusti lengan lelaki dan wanita serta e-sport.
Kesemua aktiviti ini adalah bagi menunjukkan kebersamaan KEDA dalam menyahut seruan kerajaan kepada HSN 2024 #cergasbersama kali ini.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar.
Dalam ucapan Pengurus Besar beliau menyeru agar staf KEDA terus mempergiat aktiviti sukan dan kecergasan dalam kehidupan dan menjayakan misi Warga Aktif KEDA Produktif.
“Saya yakin dengan adanya budaya bersukan ini, ia dapat mengeratkan silaturahim dan kesepaduan disamping mengekalkan kesihatan yang baik di kalangan kita,” ujar beliau.
Hari Sukan Negara ini adalah merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan di mana ia adalah satu langkah pro aktif didalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (Sporting Nation).