KEDA KONGSI PENGALAMAN URUSKAN PROJEK PPK HUJUNG KETON@TAMAN DESA TAWAKKAL
PENDANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berkongsi pengalaman menguruskan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Hujung Keton @ Taman Desa Tawakkal kepada delegasi dari Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) hari ini.
Lawatan kerja tersebut melibatkan 11 pegawai KESEDAR yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), YBhg. Tuan Mohd Fadhly bin Ab Manaf.
Majlis taklimat dimulakan oleh Penolong Pengurus Hartanah dan Prasarana KEDA, Puan Nur Idawati binti Abdul Wahab, diikuti oleh Jurutera Awam, Encik Muhammad Faiz Helmi bin Shukri, dan Pegawai Pembangunan Zon 3 Pendang, Encik Mohd Hafiz bin Ahmad. Mereka berkongsi pengalaman mengenai pengurusan projek yang dimulakan pada tahun 2017 dan mula diduduki peserta pada tahun 2021.
Selain itu, proses pemilihan peserta, temuduga, serta syarat-syarat dalam dokumen perjanjian turut dijelaskan dan dikongsi kepada delegasi KESEDAR.
Para pegawai KESEDAR menunjukkan minat mendalam, dan sesi taklimat tersebut lebih kepada dialog interaktif antara kedua-dua pihak.
Delegasi KESEDAR turut dibawa melawat kawasan penempatan Taman Desa Tawakkal yang merupakan salah satu projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dan dilaksanakan oleh KEDA dengan kos keseluruhan RM11 juta.
Projek ini merangkumi pembinaan 57 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kemudahan bekalan air, elektrik, serta gelanggang futsal.
Taman Desa Tawakkal dibangunkan dengan matlamat membantu masyarakat miskin luar bandar serta meningkatkan taraf kehidupan mereka. Pembangunan taman ini juga dijangka memajukan kawasan sekitar Pendang dan memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin.








